Malaysia Dateline

SPRM sedang kumpul bukti, Nurul Islam nafi terlibat minta rasuah RM500,000

Nurul Islam Mohamed Yusoff

Nurul Islam Mohamed Yusoff menyangkal dakwaan menjadi orang tengah kepada seorang wakil rakyat Pas di Terengganu untuk meminta rasuah membabitkan sebuah projek pasir bernilai RM500,000 di Negeri itu.

Menerusi hantaran Facebooknya semalam, Nurul Islam menafikan beberapa tangkap layar aplikasi WhatsApp yang tersebar di media sosial, dengan memaparkan namanya itu.

“Saya dimaklumkan oleh beberapa rakan-rakan mengenai sebaran printscreen yang berkait dengan saya di media sosial.

“Saya ingin menafikan printscreen tersebut dan bersedia berkerjasama dengan pihak berkuasa pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda AMANAH Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah mendakwa, beliau mempunyai bukti membabitkan salah laku seorang pemimpin Pas dan akan mendedahkan bukti tersebut dalam masa terdekat jika warganet ingin melihatnya.

Beliau berkata, pemimpin Pas berkenaan telah meminta RM200,000 sebagai wang pendahuluan dan RM300,000 lagi selepas surat kelulusan dikeluarkan.

Sementara itu, satu tangkap layar perbualan melalui Whatsapp juga tersebar di media sosial antara Nurul Islam yang memegang jawatan lantikan politik dalam GLC di Terengganu, dengan seorang kontraktor.

“YB setuju buat agreement (persetujuan) tapi yb minta 200k dulu sebelum lulus”, tulis Nurul Islam dipetik dari tangkap layar tersebut.

Terkini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dilaporkan sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan seorang wakil rakyat.

Pengarah SPRM Terengganu Ruslan Che Amad dilapor berkata, pihaknya sedia maklum dengan isu yang ditularkan pihak tertentu sejak semalam dan pelbagai maklumat telah dikumpulkan.