Malaysia Dateline

SPRM Selangor kesal kerajaan negeri belum sertai IBR

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kesal dengan kerajaan negeri Selangor yang masih belum memberi sebarang kata putus untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sehingga kini biarpun kesemua negeri lain telah melakukannya pada tahun lepas.

Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Siasatan SPRM yang merupakan bekas Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata walaupun pihaknya telah melakukan kunjungan hormat dan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, namun tiada maklum balas lanjut daripada pihak kerajaan negeri terhadap usaha suruhanjaya untuk membanteras gejala rasuah.

“Kita juga telah berurusan dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor dan Unit Integriti SUK namun belum diberi jawapan dan tarikh bagi menteri besar dan kerajaan negeri untuk melafazkan serta menandatangani IBR.

“Saya tidak tahu apakah alasan kerajaan negeri untuk masih tidak menyertai IBR sedangkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan telah menandatangani ikrar itu dengan menambah langkah-langkah integriti demi menunjukkan sokongan mereka dalam memerangi rasuah”, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan tugasnya kepada Pengarah SPRM Selangor yang baharu iaitu Datuk Alias Salim sambil disaksikan Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani dalam satu majlis di Shah Alam.