Malaysia Dateline

SPRM serah kembali jam kepada Sabki, maklum tiada sebarang pertuduhan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerahkan kembali jam tangan Omega kepada bekas Setiausaha Politik Menteri Pertanian, Ahmad Sabki Yusof dan memaklumkan tiada sebarang pertuduhan dikenakan ke atas beliau.

Sabki memaklumkan berita gembira ini melalui facebook beliau selepas kembali dari Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

“Alhamdulillah, SPRM memaklumkan tiada pertuduhan dikenakan dan siasatan telah ditutup.

“Barang yang menjadi tohmahan ke atas saya, iaitu sebuah jam tangan Omega, juga dikembalikan kepada saya,” tulis Sabki yang ditahan SPRM tahun lalu berikutan laporan pihak tertentu di kementeriannya terhadap beliau.

Sabki dikenakan tahanan reman oleh mahkamah selama empat hari 1 April tahun lalu atas dakwaan menerima jam tangan berharga mahal dari pihak tertentu semasa memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik.

Menurut Sabki, jam Omega itu beliau terima dari rakan dan juga klien beliau (semasa kerjaya beliau sebagai peguam) dan telah beliau kenali sejak sebelum menjawat jawatan dalam kerajaan.

“Saya juga pernah menjadi ahli lembaga pengarah dalam sebuah anak syarikat syarikat mereka.

“Meraikan kegembiraan mereka dan keberadaan saya dalam anak syarikat mereka, mereka menghadiahkan jam tersebut,” tulis Sabki.

Sebagai seorang peguam dan biasa berkhidmat dalam persekitaran korporat, Sabki berkata, beliau telah mengingatkan mereka tentang kedudukan beliau yang tertakluk kepada ‘no gift policy’ dan menolak hadiah tersebut.

“Tetapi mereka telah bertegas untuk memberi dan memaklumkan saya bahawa mereka tiada apa-apa kepentingan perniagaan dalam kementerian saya di mana saya bertugas,” katanya.

Katanya, patuh dengan prinsip integriti dan urustadbir baik (good governance), beliau terus memanggil unit yang berkaitan dalam kementerian untuk membuat pengisytiharan penerimaan hadiah mengikut prosedur.

“Saya diberikan borang dan mengisi borang yang berkaitan.

“Malangnya, selepas 8 bulan pengisytiharan dibuat, borang pengisytiharan itu dijadikan asas untuk membuat tohmahan rasuah ke atas saya.

“Seharusnya, pihak berkenaan memberi keputusan mereka sekiranya hadiah itu perlu dipulangkan kepada pemberi atau dilupuskan, sepertimana amalan prosedur ‘no-gift policy’.,” katanya.

Menurut Sabki, beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan.

“Saya juga mengelak dari membuat apa-apa kenyataan terbuka sebelum ini sebagai menghormati proses siasatan.

“Pagi tadi saya telah dipanggil oleh Pegawai Penyiasat dan memaklumkan siasatan telah lengkap dan tiada tindakan lanjut dan semua barang-barang dan dokumen saya dan saksi-saksi yang lain dikembalikan semula,” katanya.