Malaysia Dateline

SPRM siasat hakim: Keganjilan mengerikan?

Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa badan itu ingin menyiasat seorang hakim mahkamah rayuan yang masih sedang berkhidmat sebagai seorang hakim, tindakan SPRM itu umumnya dikecam oleh ramai pihak.

Yang terkini, ada beberapa orang telah memfailkan saman pemula di mahkamah bagi mendapatkan beberapa perintah deklarasi ke atas tindakan SPRM tersebut.

Antaranya, para plaintif bagi kes saman pemula itu meminta mahkamah mengisytiharkan tindakan SPRM menyiasat hakim berkenaan adalah ‘unconstitutional’ atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin ini kali pertama dalam sejarah perundangan di negara ini seorang hakim yang masih sedang berkhidmat akan disiasat oleh sebuah agensi seperti SPRM.

Saya rasa tidak ada pihak yang mempertikaikan hatta seorang hakim itu bukanlah pihak yang kebal di sisi undang-undang sehingga boleh terlepas dari tangan undang-undang.

Saya tidak rasa itu isunya pada masa ini. Yang saya lihat ia lebih kepada isu tatacara atau prosedur siasatan itu. 

Persolan yang dibangkitkan adalah ‘adakah wajar seorang hakim yang masih sedang berkhidmat dalam badan kehakiman tiba-tiba boleh dengan sewenang-wenangnya disiasat oleh badan seperti SPRM?’

Dalam negara ini, kita ada undang-undang tertinggi yang dinamakan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perlembagaan tersebut, ada dinyatakan skop dan bidang kuasa tertentu tiga badan utama di dalam sebuah kerajaan iaitu badan legislatif, badan eksekutif dan badan kehakiman.

Dalam ilmu perundangan dan juga ilmu sains politik, mereka menyatakan bahawa ketiga-tiga badan tersebut tertakluk kepada doktrin pemisah atau pengasingan kuasa atau dalam bahasa Yunani disebut juga sebagai ‘trias politica’.

Seperti mana seorang ahli badan legislatif itu dijamin oleh undang-undang bagi membolehkan mereka dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka tanpa rasa gentar, undang-undang akan lebih lagi melindungi para hakim bagi membolehkan mereka dapat menjalankan tugas mereka secara bebas dengan tidak ada sedikit pun rasa gentar dan memihak (without fear and favour).

Sebab itu, dari ketiga-ketiga badan tersebut-legislatif, eksekutif dan kehakiman- kita hanya biasa mendengar slogan atau doktrin ‘independence of judiciary’ atau kebebasan kehakiman sahaja. 

Bagi saya, itu menunjukkan betapa terlalu pentingnya prinsip kebebasan badan kehakiman itu.

Ia bukan sahaja mesti dipertahankan kebebasannya tetapi kebebasan itu juga wajib dilihat dipertahankan!

SPRM yang merupakan salah sebuah agensi penyiasat kes jenayah khususnya kes jenayah rasuah atau jenayah salah guna kuasa tidak boleh lari dari prosiding mahkamah sekiranya kes-kes yang badan itu siasat akhirnya ‘mendarat’ di mahkamah untuk dibicarakan oleh para hakim.

Oleh itu, anda tidak perlu memiliki IQ setinggi seorang saintis roket misalnya untuk dengan mudah memahami betapa tingginya risiko ke atas doktrin pemisahan kuasa dan prinsip kebebasan kehakiman apabila sebuah badan seperti SPRM diberi kuasa untuk menyiasat seorang hakim yang masih sedang berkhidmat dalam badan kehakiman. 

Ada yang menambah apa lagi jika badan SPRM yang dikelilingi dan dibelitui oleh pelbagai aneka warna kontroversi!

Untuk tujuan berhujah, diandaikan dalam kes yang ada sekarang ini SPRM dibenarkan membuka kertas siasatan dan seterusnya menyiasat hakim berkenaan dan ditakdirkan siasatan itu membawa kepada pendakwaan di mahkamah, tidakkah SPRM boleh melihat anomali yang bakal berlaku di mahkamah nanti?

Dengan penuh hormat dan sayugia diiingatkan bahawa menegakkan prinsip keadilan itu sesungguhnya tidak sama misalnya seperti menegakkan bangunan SPRM.

Jika ada pihak yang mengkritik dan memprotes tindakan SPRM untuk menyiasat anggota badan kehakiman, ianya kerana mereka berpendapat dalam skema Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada telah pun ada mekanisme bagi menyelesaikan isu mana-mana hakim yang didakwa kononnya telah melakukan salah laku.