SPRM tahan bekas pengurus kanan produk, dijangka direman esok

SPRM tahan bekas pengurus kanan produk, dijangka direman esok

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas pengurus kanan produk sebuah syarikat, bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima rasuah yang dianggar bernilai lebih RM2 juta.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.35 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati suspek menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit,” kata sumber itu.

Katanya, perintah tahanan reman terhadap suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Putrajaya manakala kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan itu, namun tidak mengulas lanjut berhubung kes tersebut.

— BERNAMA