Malaysia Dateline

Logo SPRM 3

SPRM tahan kakitangan Maktab Teknik PDRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang Penolong Jurutera Mekanikal di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri dekat Muar kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada kontraktor dan pembekal maktab tersebut.

Sumber memberitahu bahawa lelaki berumur 42 tahun itu ditahan di rumahnya di Merlimau, Melaka pada kira-kira 6.30 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dalam tender kerja-kerja bekalan dan perkhidmatan di maktab berkenaan.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek disyaki meminta dan menerima wang suapan hampir RM700,000 daripada kontraktor sebagai upah mendapatkan kerja-erja bekalan dan perkhidmatan di maktab itu bermula dari 2014 hingga tahun lepas.

Dalam serbuan di rumah lelaki itu, pasukan penyiasat itu menjumpai wang tunai berjumlah RM32,000 yang disembunyikan di dalam tin biskut dan merampas barang-barang kemas dan sebuah kereta Toyota Prado yang dianggar bernilai RM30,000.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata lelaki itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Segamat esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.