SPRM teliti dakwaan ahli MT Umno seleweng dana sebuah yayasan

SPRM teliti dakwaan ahli MT Umno seleweng dana sebuah yayasan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan seorang anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipercayai terbabit dalam penyelewengan projek pembangunan perisian untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semalam.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, berkata laporan itu diterima daripada Polis Diraja Malaysia yang mendapat satu aduan daripada orang awam.

“SPRM akan meneliti laporan yang telah diperoleh sebelum membuka kertas siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Individu yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan sekiranya perlu bagi membantu siasatan,” kata kenyataan itu.

SPRM juga akan bekerjasama dengan MCMC bagi mendapatkan maklumat-maklumat berhubung dakwaan tersebut, kata kenyataan itu.

Sebuah portal berita tempatan sebelum ini melaporkan sebuah syarikat membuat laporan polis mendakwa sebuah yayasan milik seorang anggota MT UMNO melakukan penyelewengan dana sebanyak RM2.7 juta.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman mengesahkan menerima laporan polis itu.

bagaimanapun dalam perkembangan sama hari ini FMT melaporkan Pengarah pemasaran syarikat menarik semula laporan polis dan kenyataan terhadap sebuah yayasan milik seorang pemimpin kanan Umno.

Pengarah pemasaran yang enggan namanya didedahkan dipetik berkata, penarikan semula kenyataan dan laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

“Kenyataan itu kita tarik balik, artikel itu kita tarik balik. Saya buat laporan polis baharu. Tarik balik semua dan segalanya selesai,” katanya.

Sebelum ini, pengarah pemasaran itu mendakwa yayasan milik seorang pemimpin kanan Umno itu melakukan penyelewengan dana RM2.7 juta yang diperoleh daripada SKMM.

Beliau mendakwa segala perselisihan faham antara pihaknya dan yayasan milik pemimpin kanan Umno terbabit dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Dah okay,” katanya ketika menjawab soalan sama ada hubungannya dengan yayasan berkenaan sudah pulih semula.

“Kita selesai cara baik, dengan pihak yang dinyatakan dalam artikel (yayasan milik pemimpin kanan Umno),” katanya.

 

COMMENTS

Wordpress (0)