Malaysia Dateline

SPRM terima laporan dakwaan rasuah babit pegawai kanan Suruhanjaya Sekuriti

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan telah menerima laporan daripada kumpulan masyarakat sivil yang mendakwa terdapat dakwaan rasuah terhadap pegawai kanan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Mereka sedang meneliti aduan tersebut sebelum meneruskan siasatan, lapor portal berita Free Malaysia Today.

Petang kelmarin, sekumpulan individu membuat laporan berhubung salah laku dan jenayah rasuah oleh pengurusan tertinggi SC serta Ahli Lembaga Pengarahnya.

Empat belia itu mendakwa mempunyai bukti kukuh dan tidak menafikan salah laku tersebut turut membabitkan ahli politik yang berjawatan penting dalam kerajaan.

Wakil kumpulan itu memberitahu, tindakan siasatan perlu disegerakan oleh pihak SPRM kerana banyak syarikat-syarikat di negara ini menjadi mangsa termasuk juga orang awam.

“Saya mahu SPRM segera menyiasat perkara ini. Kita tidak mahu integriti dan imej SC tercalar kerana isu integriti dan jenayah rasuah seperti ini,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan pada 6 Januari lalu, SC berkata akan meminta semua pihak yang terbabit dengan isu pemilikan saham, termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Menurut SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Selain itu, jelas SC, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan.