Malaysia Dateline

‘SPRM tidak akan jadi bebas jika hanya buat siasatan dalaman’

Isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilihat masih terus mengundang banyak persoalan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat kontroversi membabitkan orang nombor satu dalam SPRM itu perlu disiasat oleh sebuah badan bebas.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkenaan berkata, siasatan dalaman tidak mencukupi untuk isu yang mula dibangkitkan di Parlimen pada 16 Disember itu.

Sehubungan itu, Puad menegaskan kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam bahawa saham syarikat yang dikaitkan dengan beliau adalah milik adiknya.

“SPRM agensi bebas. Agensi bebas kena siasat oleh badan bebas. Baru bebas namanya. Mana wajar agensi bebas seperti SPRM buat siasatan dalaman. Ia tidak akan jadi bebas.

“Apatah lagi kalau mahu menyiasat dakwaan salah laku terhadap boss SPRM. Diharap kerajaan segerakan penubuhan RCI,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, kontroversi pemilikan saham di dua syarikat pada 2015 yang dikaitkan dengan Azam menyaksikan lebih banyak persoalan timbul susulan sidang media oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang pada 5 Januari lalu.

Antaranya, mengapa Azam masih memegang berjuta-juta saham setakat Mac 2016 walaupun Abu Zahar memberitahu ia sudah dipindahkan kepada adik Azam, Nasir pada 2015.

Mengulas lanjut, Puad menegaskan siasatan sebelah pihak oleh LPPR adalah dipersoalkan.

“Tambah celaru apabila enam ahli panel LPPR mendakwa kenyataan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar adalah pandangan peribadi.

“Celaru ini tidak boleh berterusan. Azam Baki berhak untuk lawan. Tetapi rakyat berhak dapat penjelasan dan tindakan yang telus dan adil,” ujarnya.

Semalam, enam ahli panel LPPR dalam satu kenyataan bersama menegaskan kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam Baki adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu.

Kesemua mereka terbabit iaitu Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menjelaskan, ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian sama seperti Abu Zahar.

“Kami ingin menjelaskan bawah ahli lembaga pengarah, sama ada dalam mesyuarat berkenaan atau pada bila-bila masa yang lain tidak pernah menyuarakan pendapat seperti dinyatakan Abu Zahar.

“Kami juga ingin menyatakan bahawa semua komen berkenaan adalah pandangan peribadi Abu Zahar,” kata mereka.

Reaksi mereka itu susulan kenyataan Abu Zahar bahawa selepas perbincangan panjang lebar susulan pertemuan dengan Azam Baki pada 24 November 2021, pihak lembaga mendapati Azam tiada kepentingan kewangan mahupun manfaat dalam isu pemerolehan saham yang dilaporkan.

Abu Zahar turut menyatakan bahawa pihak LPPR berpuas hati dengan penjelasan diberikan Azam, seterusnya menyatakan bahawa tiada jenayah dilakukan atau konflik kepentingan dalam hal ini.