SPRM tidak pernah hantar surat tutup kes rasuah, surat yang diedar palsu

SPRM tidak pernah hantar surat tutup kes rasuah, surat yang diedar palsu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya tidak pernah menghubungi mana-mana pihak menerusi surat bagi menutup sebarang kes rasuah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki.

Menurutnya, SPRM telah menerima 11 aduan daripada orang awam yang terpedaya dengan surat palsu berkenaan sejak kebelakangan ini.

“SPRM juga berharap orang ramai lebih peka dan berkongsi maklumat ini bersama masyarakat di sekeliling supaya tidak terpedaya dengan surat palsu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam berkata demikian mengulas satu surat palsu mengenai tawaran sejumlah RM50,000 ke akaun bitcoin untuk menutup kes daripada Ketua Bahagian Penyiasatan SPRM.

Beliau menasihatkan orang ramai yang menerima sebarang surat yang meragukan untuk mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian 1-800-88-6000 dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.sprm.gov.my.

– BERNAMA