Malaysia Dateline

SPRM tidak pernah sekat Guan Eng masuk Sabah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pihaknya tidak menyekat Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng daripada melakukan perjalanan ke mana-mana negeri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, mungkin berlaku kekhilafan ketika Lim tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, semalam sehingga menyebabkan Setiausaha Agung DAP itu ditahan kira-kira setengah jam.

“Itu mungkin berlaku sedikit kekhilafan kerana SPRM hanya membuat permohonan untuk menyekat Lim dari ke luar negara sahaja.

“Mungkin ada kekeliruan sedikit yang timbul di situ tapi saya tegaskan di sini, SPRM tidak pernah menyekat beliau untuk masuk ke Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan di Melaka, hari ini seperti dipetik Bernama.

Lim sebelum ini mendakwa beliau tidak dibenarkan memasuki Sabah oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah atas alasan SPRM telah meletakkan halangan untuk beliau berbuat demikian.

Hari ini Lim Guan Eng memaklumkan beliau dihalang daripada memasuki negeri Sabah semalam.

Beliau dimaklumkan oleh pegawai Imigresen bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meletakkan halangan untuk beliau memasuki Sabah.