Malaysia Dateline

SPRM tidak toleransi sebarang serangan ke atas tahanan, kata Latheefa Koya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan suruhanjaya itu tidak akan bertoleransi dengan sebarang serangan ke atas tahanan.

Justeru semua tuduhan berkaitan serangan dalam tahanan akan  diteliti secara serius dan kerjasama penuh akan diberikan kepada mana-mana badan penyiasat.

Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya, dalam kenyataannya berkata,

SPRM telah meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangkap dan menahan suspek.

“Dalam kes ini, anggota-anggota polis yang membuat aduan sedang disiasat oleh SPRM atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap suspek penyalahgunaan dadah.

“Penyiasatan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan operasi oleh SPRM Selangor susulan dakwaan kegiatan pemerasan yang melibatkan anggota polis.

“Satu laporan polis juga telah dibuat oleh pegawai SPRM tersebut yang menyatakan bahawa tuduhan serangan dalam tahanan terhadap anggota-anggota polis tersebut adalah palsu,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada satu laporan polis yang dibuat oleh tiga orang anggota polis ke atas pegawai SPRM yang didakwa telah melakukan kekerasan ke  ketika menjalankan proses merakam percakapan.

Kata Latheefa lagi, SPRM akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan sebarang penyiasatan polis terhadap laporan tersebut.

Semalam dilaporkan tiga anggota polis mendakwa cedera dipukul pegawai SPRM ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

Ketiga-tiga anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berumur 24, 25 dan 26 tahun itu telah hadir di pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes dikendalikan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, mereka mendakwa telah ditumbuk, ditampar serta ditendang ketika proses mengambil keterangan oleh pegawai SPRM dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Dis lepas.