Malaysia Dateline

SQL Account akan perkasa 190,000 syarikat dengan akses kepada data masa nyata

CTOS Holdings Sdn Bhd, yang unit-unitnya termasuk agensi pelaporan kredit CTOS Data Systems Sdn Bhd, bekerjasama dengan E Stream Software Sdn Bhd untuk memperkasakan lebih daripada 190,000 syarikat di seluruh negara dengan akses kepada data masa nyata menggunakan perisian perakaunan bersepadu SQL Account.

CTOS dalam satu kenyataan hari ini berkata, SQL Account akan membolehkan pengguna membuat keputusan yang pantas dan bermaklumat serta berdasarkan data, dengan akses data masa nyata daripada  CTOS seperti profil syarikat, sorotan kewangan dan maklumat para pengarah.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CTOS Holdings Dennis Martin berkata menerusi perkongsian ini, pengguna SQL Account akan merasa lebih yakin mempunyai data dikumpul CTOS secara terus untuk membuat keputusan yang bermaklumat.

Pengarah Urusan E Stream Software Desmond Law berkata CTOS menyediakan akses yang pantas dan mudah kepada maklumat dan memainkan peranan penting dalam mewujudkan ketelusan dalam perniagaan berkaitan kredit.

“Ini membantu mengurangkan risiko menerusi keputusan berdasarkan bermaklumat dan bagi skala yang lebih besar, manfaatnya bukan hanya kepada perniagaan tetapi setiap orang di dalam negara.

“Penggabungan kepakaran perkongsian kami akan membuka pintu kepada saluran baharu penyelidikan dan pembangunan dan menilai semula pembangunan perisian perniagaan,” katanya.

— BERNAMA