Malaysia Dateline

SR tunjukkan cek bayaran RM1.4 juta dari Pas

Editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle-Brown,  mengesahkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat bayaran kepadanya berjumlah RM1.4 juta.

Bayaran dibuat itu sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi membolehkan Abdul Hadi menyelesaikan kes di luar mahkamah yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Brown dalam tulisannya di laman Sarawak Report semalam, turut mendedahkan cek Bank Islam bernilai RM1,422,980.00, bagi membuktikan Abdul Hadi membuat bayaran kepadanya menerusi peguam beliau, Messrs Americk Sidhu.

Selain itu, Brown juga mendedahkan beberapa dokumen mengenai penyelesaian kes itu di luar mahkamah yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Apabila penyelesaian luar mahkamah ditandatangani pada 24 Januari persetujuan dicapai bahawa bil guaman Sarawak Report harus dibayar sebanyak RM1.4 juta (RM1,422,980.00) sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi membenarkan Hadi Awang menarik diri daripada kesnya.

“Sarawak Report juga bersetuju dengan syarat Abdul Hadi bahawa kedua-dua pihak merahsiakan bayaran itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya bersetuju dengan perintah mahkamah United Kingdom (UK) untuk menggugurkan kes Abdul Hadi dengan syarat kos itu dibayar.

Bayaran penyelesaian luar mahkamah itu katanya, hanya diserahkan oleh peguam kepada beliau apabila perintah mahkamah menggugurkan kes Abdul Hadi itu dicap dan dimeterai.

Oleh itu, perintah mahkamah bagi menggugurkan prosiding kes berkenaan menetapkan ‘tiada perintah terhadap kos’, kerana Abdul Hadi telah membuat bayaran lebih awal, katanya seperti didedahkan.

Beliau berkata, Abdul Hadi dan rakan-rakannya di dalam Pas bersedia membayar wang itu bagi mengelak pemeriksaan balas terhadap kesaksian mereka yang bertentangan dan mengelak kemungkinan besar kalah serta perlu membayar kos.

Perjanjian luar mahkamah itu, katanya, tidak mewajibkan Sarawak Report untuk memberikan apa-apa remedi yang diminta dalam tuntutan Abdul Hadi, seperti berdiam diri berkaitan bayaran Umno kepada Pas atau yang lainnya, kerana Sarawak Report menolak untuk memohon maaf.

“Sarawak Report bersetuju menarik balik saman balas terhadap Abdul Hadi bagi menghentikan semua tindakan undang-undang,” katanya.

Awal Februari lalu, Abdul Hadi membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah, melalui Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019, di Mahkamah Tinggi London.

Penyelesaian luar mahkamah itu diputuskan dengan syarat, termasuk Abdul Hadi menarik balik tuntutan terhadap Brown, dan Brown juga menarik balik tuntutan balas terhadap Presiden Pas itu.

Sebahagian dokumen perjanjian antara Pas dan SR menunjukkan berlaku pembayaran daripada Abdul Hadi kepada Claire menerusi peguam Ameeric Sidhu.