Malaysia Dateline

SRC International: SPRM buru Redzuan, Lean Seng

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu dua lelaki dengan seorang daripadanya merupakan pemilik sebuah syarikat pengurup wang bagi membantu siasatan skandal SRC International Sdn. Bhd.

Kedua-dua individu terbabit, Mohamed Redzuan Adamshah, 43, dan Toh Lean Seng, 45, telah melarikan ke luar negara sejak siasatan berkenaan dibuka pada 2015, lapor Utusan Online hari ini.

“SPRM sebelum ini ada menghubungi kedua-dua lelaki itu bagaimanapun mereka gagal dikesan memandangkan syarikat pengurup wang tersebut tidak lagi beroperasi sejak 2005,” memetik sumber yang tidak dinyatakan.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, Redzuan yang memegang kad pengenalan 750204-07-5323 mempunyai alamat terakhir di No 1E, Cresent Court Apartmen, Tingkat 1, Lengkok Tun Sambathan, Brickfields, 50470, Kuala Lumpur.

Ujarnya, Lean Seng yang memegang kad pengenalan 730904-07-5131 pula beralamat terakhir di 15-1, 231 TR Service Apartmen 231, Jalan Tun Razak, 50490, Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai dua individu itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Rosli Husain di talian 03-8870 0529 atau 010-3187757 atau email kepada [email protected],” katanya.

Sebelum ini, pada 22 dan 24 Mei lalu, SPRM telah memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi keterangan berhubung kes sama termasuk dana RM2.6 bilion yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 26 Jan 2016 mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan SRC International dan penerimaan dana tersebut.

Pada 2016, siasatan Jabatan Peguam Negara Switzerland (Office of the Attorney General, OAG) mendedahkan dana dalam amaun yang sangat besar didakwa telah digelapkan dari SRC International.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil masih tidak dapat dikesan selepas dilapor melarikan diri apabila SPRM memburunya bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

Seorang lagi yang dikaitkan dengan rompakan khazanah kerajaan serta duit rakyat melalui 1MDB tetapi masih belum ditemui adalah hartawan kontroversi Jho Low.