Malaysia Dateline

SRC: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib tangguh prosiding

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal mendapatkan permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuannya terhadap sabitan kes rasuah SRC International.

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan perkara berkenaan dan meneruskan pendengaran permohonan tersebut hari ini.

Prosiding kali ini bagi mendengar rayuan Najib untuk mengetepikan sabitannya terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC.

Sebelum prosiding bermula, peguam Muhammad Shafee Abdullah telah memohon penangguhan sebulan sementara menunggu keputusan pemohonan Najib di mahkamah Amerika Syarikat dan Singapura.

Permohonan di Amerika Syarikat adalah berkaitan tuntutan Najib untuk mendapatkan dokumen dan bukti yang diperlukan untuk pembelaannya di Malaysia.

Namun, ia ditolak panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Abdul Karim Abdul Jalil.

“Kami putuskan untuk teruskan (pendengaran hari ini),” kata Abdul Karim memetik Malaysiakini.

Pada 28 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.