Di kamar mahkamah Datuk Seri Mohd Najib Razak telah dituduh dengan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Akta Pembiayaan Keganasan dan Perolehan Akta Kegiatan Undang-undang (Amla) 2001.
Tuduhan itu dibacakan dalam bahasa Melayu dan Najib berkata “faham” selepas tuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Tiada pengakuan direkodkan.
Barisan pendakwaan yang diketuai Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon supaya kesemua kes terhadap Najib dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk pengakuan diambil.
Hakim Azura Alwi membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Tuduhan berkaitan dengan RM42juta yang didakwa pergi dari SRC International ke akaun bank peribadi Najib.
Najib dituduh menerima RM27 juta, RM5juta dan RM10juta, yang diperoleh daripada aktiviti haram, ke dalam akaun banknya dalam tiga transaksi berasingan.
Kesalahan pertama dan kedua didakwa dilakukan di Am Islamic Bank di Jalan Raja Chulan pada 26 Disember 2014 manakala kesalahan ketiga didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 10 Februari 2015.
Bekas Perdana Menteri itu hari ini tiba diperkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta bagi menghadapi tiga pertuduhan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Akitivi Haram 2001.
Menurut Seksyen 4, seseorang itu secara langsung atau tidak langsung melakukan kesalahan terlibat dalam transaksi hasil aktiviti haram, memperoleh, menerima, memiliki, mengalihkan atau membawa masuk ke dalam negara hasil aktiviti haram.
Jika sabit bersalah, bekas Presiden Umno itu boleh didenda maksimum RM5juta atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau tiba kira-kira jam 8.50 pagi tadi dengan memakai sut berwarna hitam kelihatan tenang memasuki lobi mahkamah.
Kehadiran bekas presiden Umno itu dinantikan lebih 100 penyokong yang diketua Pengerusi Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam yang dihalanga daripada memasuki kawasan kompleks mahkamah hari ini.
Lokman dalam sidang medianya mendakwa apa yang berlaku hari ini menunjukkan satu lagi sikap diktator pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam kenyataan rasmi semalam, mengesahkan telah memanggil Najib bagi membantu siasatan SRC di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia semalam.
Berita menyusul lagi…