Malaysia Dateline

Sree Abiraame bolot 5 emas di UAE

Atlet cilik negara, C. Sree Abiraame membuktikan kecemerlangan dalam acara luncur ais apabila membolot lima pingat emas pada Kejohanan Luncur Ais Antarabangsa Timur Tengah ke-4 yang menutup tirai di Bandar Sukan Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.

Pada hari terakhir kejohanan, peluncur ais muda negara berusia tujuh tahun itu, berjaya memenangi dua pingat emas apabila mengatasi peserta Thailand, Tanthanasin Nicha pada final acara Freestyle 1 Footwork kategori perempuan 7 hingga 8 tahun.

Kemudian Sree Abiraame mengaut pingat emas kelima kejohanan dengan mengatasi peserta tuan rumah, Mizuguchi Hanabi dalam acara Artistic Freestyle 1 pada kejohanan yang juga dikenali sebagai Kejohanan Luncur Ais Abu Dhabi 2019.

Pelajar Sekolah Antarabangsa Kingsley itu memulakan kempen menuai emas dalam acara ‘Speed Skating’ pada hari pertama kejohanan, Khamis sebelum menambah dua lagi emas masing-masing dalam cara Freestyle dan Solo Camp Freestyle semalam.

“Saya sungguh gembira untuk melakarkan kejayaan ini….terima kasih kepada semua yang berdoa untuk saya. Saya akan berusaha ke arah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan, Itali,” katanya.

Ini bukan kali pertama Sree Abiraame membolot emas di kejohanan  utama selepas memenangi empat emas, satu perak dan satu gangsa pada siri Kejohanan Asia ISI di Bangkok, Ogos tahun lalu dan empat pingat emas di Shenzhen, China, Disember lalu.

— BERNAMA