Sri Lanka: Anggota parlimen kemuka usul tidak percaya terhadap PM baharu

Sri Lanka: Anggota parlimen kemuka usul tidak percaya terhadap PM baharu

Parlimen Sri Lanka kecoh pada Rabu selepas satu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri baharu Mahinda Rajapakse telah dikemukakan kepada Speaker Karu Jayasuriya, yang menyebabkan persidangannya ditangguh sehingga Khamis.

Susulan penangguhan itu, beberapa anggota parlimen telah membuat kenyataan yang bercanggah berhubung keputusan undi tidak percaya itu.

Menurut agensi berita China Xinhua, usul tidak percaya terhadap perdana menteri baharu dan kerajaan yang baharu dipilih telah dikemukakan oleh anggota parlimen Parti Janatha Vimukthi Peramuna (JVP), Anura Kumara Dissanayaka, dan disokong oleh Vijitha Herath, juga dari JVP.

Bagaimanapun, apabila usul itu dibuka untuk pengundian, anggota parlimen daripada parti Rajapakse telah mengemukakan bantahan yang mendorong perdana menteri itu meninggalkan dewan persidangan.

Lakshman Kiriella, anggota parlimen daripada Parti Bersatu Kebangsaan pimpinan perdana menteri yang dipecat Ranil Wickremesinghe memaklumkan pemberita bahawa susulan penangguhan itu, undi tidak percaya telah diluluskan dengan majoriti dan perdana menteri baharu serta kerajaannya tidak lagi wujud.

“Kami memiliki majoriti dan prosedur parlimen yang sepatutnya telah dipenuhi. Kerajaan baharu sudah tidak wujud. Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sekali lagi akan menjadi perdana menteri negara ini,” kata Kiriella.

Bagaimanapun, anggota parlimen Parti Podujana Peramuna Sri Lanka, Dinesh Gunawardena, berkata undi tidak percaya belum diluluskan kerana speaker parlimen tidak mengikuti tradisi biasa parlimen dengan mengadakan satu pengundian secara elektronik.

Sri Lanka telah terjerumus dalam kancah kekecohan politik sejak 26 Okt apabila Presiden Maithripala Sirisena secara mengejut memecat Wickremesinghe dan melantik Rajapakse ke jawatan itu.

Sirisena, yang sepatutnya berucap di parlimen pada Rabu, tidak hadir.

— BERNAMA