Sri Mulyani puteri bangsa kebanggaan Indonesia

Sri Mulyani puteri bangsa kebanggaan Indonesia

KETIKA ini masyarakat di Indonesia sedang berbangga dengan sosok wanita yang namanya Sri Mulyani Indrawati. Sri Mulyani merupakan anak ke-7 daripada 10 orang bersaudara. Bapanya Profesor Dr. Satmoko dan ibunya bernama Profesor Dr. Retno Sringnisih Satmoko merupakan pendidik di Universiti Negeri Semarang, Indonesia.

Sri Mulyani lahir pada tanggal 26 ogos 1962 di Lampung. Namanya di Indonesia bukanlah sesuatu asing dan bukan juga sesuatu “kejutan” apabila beliau dinobatkan selaku Menteri Kewangan Terbaik Dunia bagi tahun 2018, Sri Mulyani sebenarnya sudah lama bertapak diruang perbincangan keilmuan dan pengamalan dalam bidang ekonomi baik di Indonesia dan antarabangsa.

masa menuntut

Beliau menjalankan pengajian Master dan Ph.D di sebuah universiti di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai University Of Illinois Urbana-Champaign. Pengalaman Sri Mulyani dan pasangannya, Tonny Sumartono ketika dalam pengajian hingga terpaksa menjual kereta kerana mahu membayar yuran kuliahnya.

Cuma ketika menjalani Ph.Dnya Sri Mulyani melakukan kerja sambilan dikampusnya. Begitulah ketegaran beliau dan suami berkelana dengan satu tujuan selain mahu berjaya untuk peribadinya, nafsu untuk menaikkan martabat Indonesia itu keatas menjadi pendorong mereka untuk berkorban.

Begitu juga jika kita menyelak kisah sejarah hidup seorang lagi tokoh Indonesia yang bernama Bacharuddin Jusuf Habibie yang dikenali dunia dengan nama B.J Habibie. Beliau bukanlah calang-calang orang, seorang insinyur (jurutera) pesawat yang menempuh pelbagai kesusahan sebelum menempa kejayaan.

Sri Mulyani dan B.J Habibie antara tokoh yang penulis hormati. Mereka dari awal lagi mempunyai pengkhususan bidang. B.J Habibie dari kecil minatnya ke arah pesawat manakala Sri Mulyani fokus dari zaman awal universitinya hingga pasca Ph.Dnya diperolehi adalah bidang ekonomi.

Sri Mulyani menerima anugerah menteri terbaik dunia daripada Emir Dubai di Persidangan Kerajaan Dunia.

menteri kewangan

Pada era kepimpinan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, Sri Mulyani sebenarnya sudah pun menjawat Menteri Kewangan Indonesia. Pada 2004 beliau dipanggil pulang ke Indonesia oleh Presiden SBY bagi menjadi menteri dalam kabinetnya. Sri Mulyani mula menjawat Menteri Kewangan bermula dari tahun 2005 hinggalah ke 2009.

Namun sudah tentu dalam bidang politik dan kerajaan akan hadir pasang surutnya. Pada 2008 Sri Mulyani didakwa terlibat dalam skandal ‘menyelamatkan’ sebuah bank gabungan yang dikenal sebagai PT Bank Mutiara. Namun selepas siasatan dilakukan oleh badan penyiasatan antirasuah membuktikan Sri Mulyani bersih dari tuduhan menerima rasuah atau sebarang ganjaran.

Beliau diangkat sebagai tokoh reformis ekonomi di Indonesia. Malah kecekapan dan kepakaran beliau turut mampu meyakinkan serta menarik pelabur untuk melabur dinegara yang peduduknya hampir mencecah 262 juta orang pada tahun 2018. Tetapi beliau mengambil keputusan untuk menulis surat perletakan jawatannya pada 2009 kerana skandal rasuah yang terdakwa pada dirinya sebelum itu.

letak jawatan

Begitulah berprinsipnya Sri Mulyani walau beliau telah pun dibuktikan tidak bersalah melakukan pecah amanah dan rasuah. Tidak seperti pimpinan dalam negara kita, undang-undang rasuah itu tidak lut pada dirinya dan kroni. Disaat bukti wujud, pihak berwajib berdolak-dalih menafikan kebenaran menggunakan kebatilan.

Bekas Menteri Kewangan di zaman Presiden SBY itu tidak dibiarkan begitu saja oleh mereka yang melihat kemampuan dan potensinya dalam membawa Indonesia melalui fasa peningkatan ekonominya, beliau disambar oleh Dana Kewangan Antarabangsa(IMF) sejurus meletakkan jawatannya.

Dengan punya pengalaman selaku anggota lembaga pengarah IMF Sri Mulyani dilihat sosok paling cocok menduduki kerusi tersebut setelah mengemudi Indonesia keluar dari kemelesetan ekonomi global ditambah penghormatan oleh seluruh rakan sejawatnya diseantero dunia.

menteri kewangan kali ke-2

Pada tahun 2014, nama Sri Mulyani sekali lagi menjadi kontroversi. Kata sesetengah desas-desus, beliau mungkin akan bertanding kerusi Presiden Indonesia tahun tersebut. Namun khabar itu berlalu begitu saja.

Namun pada tahun tanggal 27 julai 2016, Sri Mulyani secara rasminya dilantik menjawat jawatan Menteri Kewangan Indonesia dibawah pimpinan Presiden Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi. Dengan pengalaman yang ada beliau terus berusaha membantu Indonesia naik dan meningkat ekonomi mereka. Hanya dengan karisma dan merit yang dimiliki, Sri Mulyani mampu menarik pelabur untuk melabur di negara pancasila itu.

Sehinggalah beliau ditabalkan sebagai Menteri Kewangan 2018 terbaik dunia.

pengajaran

Di Malaysia Menteri Kewangan kita adalah insan yang sama menjawat jawatan Perdana Menteri. Pada tahun 2016, portal FinanceAsia telah mengumumkan Najib Razak sebagai Menteri Kewangan paling teruk di Asia. Bukan sekadar itu saja, mengikut apa yang dilaporkan oleh badan transperansi rasuah dunia, skor mata Malaysia turun 1 mata pada tahun yang sama.

Menurut portal tersebut kasus korupsi 1MDB dengan sejumlah US$700 juta berada didalam akaun peribadi Perdana Menteri juga mempengaruhi indeks yang meletakkan Malaysia ditangga ke 55 dari 176 buah negara.

Maka Malaysia juga harus mencontohi negara jiran yang meletakkan seseorang yang berprinsip sebagai nakhodanya. Jika rakyat Indonesia yang menjadi buruh di Malaysia hari ini mampu mendongak kebanggan kerana ada namanya Sri Mulyani Indrawati sebagai pemimpin, apakah rakyat Malaysia yang sering melancong ke Indonesia nanti hanya mampu menyembam wajah ke tanah kerana dipimpin oleh individu yang terpalit dengan dakwaan merompak dan mencuri hak milik kita dan tanah air tercinta ini.
_________________________
Muhammad Syafiq Azmi ialah Ketua Pemuda Amanah Melaka.

CATEGORIES