Ketika frontliners berhempas pulas, Srikandi Bersatu sakan berpesta gelek ‘Kopi Dangdut’

Oleh ARIF ATAN

Tular di media sosial sekumpulan anggota Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gembira berjoget lagu dangdut.

Kira-kira 20 orang wanita dilihat menari diiringi irama lagu ‘Kopi Dangdut’ yang sedang berkumandang dalam sebuah dewan.

Menerusi klip rakaman video berdurasi hampir dua minit itu, turut kelihatan seorang lelaki separuh usia menari dengan kedua-dua tangannya lentik ke atas mengikut alunan lagu popular Indonesia era awal 1990-an itu.

Mereka yang ada ketika ketawa dan bersorak mengikut irama lagu ciptaan asal tahun 1958 dari Venezuela, ‘Moliendo Café’ (Mengisar Kopi) itu dilihat ada yang tidak mengenakan pelitup muka.

Sumber memaklumkan kepada Malaysia Dateline, aksi ceria anggota sayap wanita parti diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin itu berlaku ketika Kursus Pemantapan Pimpinan Srikandi Bersatu di Holiday Inn Shah Alam pada pada 28, 29 dan 30 April lalu.

Ini bermakna mereka bergelek gembira antara 16 hingga 18 Ramadan ketika kes harian Covid-19 meningkat antara 3,142 hingga 3,788 kes dengan jumlah keseluruhan 408,713 kes pada akhir April lalu.