Srikandi Perak tidak terjejas ekoran peletakan jawatan Exco dan ketua bahagian

Srikandi Perak tidak terjejas ekoran peletakan jawatan Exco dan ketua bahagian

 Rina Mohd Harun Peletakan jawatan Exco dan ketua bahagian Srikandi di Perak tidak akan menjejaskan perjalanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu,kata Ketua Srikandi Rina Mohd Harun.

Beliau berkata kedua-dua ketua bahagian itu sudahpun memaklumkan kepada pengurusan parti untuk meletakkan jawatan mereka sebelum sidang media dilakukan.

“Zulaiha dilantik pada April lalu ketika kita tubuhkan barisan jawatankuasa Exco di peringkat pusat.

“Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada saya pada 20 Mei lalu.

“Atas sebab beliau tidak dapat memberikan komitmen kepada tanggungjwab yang diberikan sebagai Exco Srikandi,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan dua ketua bahagian Srikandi di negeri itu.

Ketua Srikandi Penaja Bahagian Batu Gajah, Zulaiha Sidiq dan Ketua Srikandi Penaja Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md Noraini mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.

Rina ditemui selepas siri Jelajah Semarak di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru malam tadi yang dihadiri Pengerusi Tun  Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Turut hadir Tun Siti Hasmah Mohd Ali, barisan kepimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan dan Negeri.

Menjelaskan mengenai Ketua Srikandi Bahagian Gopeng dakwa Rina, Aflatuniah juga tidak pernah hadir dalam mesyuarat bahagian-bahagian di negeri itu sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatannya.

“Mereka (Zulaiha dan Aflatuniah) tidak pernah hadirkan diri dalam mana-mana program di Perak.

“Kali pertama kami adakan perjumpaan Srikandi negeri pada 20 April lalu Zulaiha tidak hadir dan disusuli dengan perjumpaan dengan semua ketua-ketua bahagian Srikandi Aflatuniah juga tidak hadir,” terangnya.

Peletakan jawatan kedua-dua ketua bahagian Srikandi dilaporkan kerana kecewa dengan pergolakan berlaku antara ahli Bersatu ketika ini yang gagal diatasi sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Zulaiha berkata peletakan jawatan yang dibuat turut melibatkan kedudukannya selaku Exco Srikandi Bersatu Malaysia dan ia dibuat secara rela hati tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Sementara itu, Aflatuniah ketika ditemui media pula enggan mengulas lanjut berkaitan keputusannya meletak jawatan.

Ditanya adakah dengan keputusan dua ketua bahagian itu akan menjejaskan Srikandi, Rina menegaskan Srikandi berada dalam keadaan terkawal dan di peringkat pusat cuba menangani masalah yang ditimbulkan oleh pimpinan negeri itu.

“Isu yang dikatakan mereka dalam pengetahuan parti yang melibatkan isu kepimpinan parti.

“Parti telah menguruskan dengan berhemah menangani isu yang ditimbulkan oleh sebahagian ahli parti.

“Sebagai exco dia (Zulaiha) mahu meletakkan jawatan itu dia punya pilihan.

“Insyallah tidak jejaskan Srikandi keseluruhannya,” ujarnya yang kini akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mencari penganti Exco Pusat dan jawatan ketua bahagian Batu Gajah dan Gopeng itu.

“Kita masih ramai calon yang berkelayakan di peringkat negeri untuk diangkat mengisi kekosongan jawatan itu. Kita akan kenalpasti calon yang sesuai dalam waktu terdekat ini,” ujarnya.

Rina turut menambah sebagai sebuah parti baharu di persada politik tanahair, isu ketidakpuasan hati di kalangan penyokong tidak dapat dielakkan, namun ujarnya, Srikandi  dana kepimpinan pusat cuba berlaku adil kepada semua pihak.

“Bila satu parti baharu dalam sesebuah organisasi politik akan ada perbezaan pendapat dan pandangan dikalangam ahli terhadap kepimpinan parti.

“Parti telah urukan dengan baik.Kita sudah cuba selesaikan dan kita tidak boleh puaskan hati semua pihak. Pemimpin pusat sudah buat yang terbaik untuk kepentingan parti ini,” ujarnya.

Bersatu Negeri Perak mula bergolak apabila pada  20 Mei lalu, Ketua Penaja, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan berikutan hilang kepercayaan selain kegagalan mengatasi kepincangan yang berlaku di peringkat pimpinan Bersatu Perak.

Bagaimanapun, keesokannya Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu bersama 21 Bahagian di negeri itu menyokong kepimpinan Muhyiddin dan  mendakwa perkara itu sengaja direka-reka dan mendesak Azrul Suhadi membuat permohonan maaf secara terbuka selain meletak jawatan kerana bertindak di luar jangkauan.

Tun Dr Siti Hasmah turut hadir dalam siri Jelajah Semarak di peringkat Wilayah Persekutuan ditemani oleh Rina Mohd Harun selepas selesai majlis diadakan malam tadi..

COMMENTS

Wordpress (0)