SSM laksana diskaun kompaun sehingga 85 peratus kepada syarikat korporat

SSM laksana diskaun kompaun sehingga 85 peratus kepada syarikat korporat

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah melaksanakan kaedah pengurangan kadar kompaun secara automatik yang dilaksanakan sebagai langkah memudahkan penyelesaian kompaun, yang bermula semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan tersebut bertujuan memberi dorongan kepada komuniti korporat dalam mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016.

Katanya lagi, sehingga 85 peratus pengurangan kadar nilai kompaun ditawarkan kepada komuniti korporat yang berjaya menjelaskan kompaun perniagaan mereka yang tertunggak.

“Namun, peniaga hanya mempunyai tempoh selama 40 hari bermula dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk mendapat manfaat bayaran sehingga 85 peratus dari nilai asal.

“Ini akan memberi kelebihan kepada komuniti korporat untuk menikmati kadar pengurangan kompaun yang lebih tinggi tanpa perlu mengemukakan rayuan pengurangan.

“Pengurangan sehingga 75 peratus juga diberikan kepada mereka yang mampu menyelesaikan tunggakan dalam tempoh 41 hari hingga 60 hari tarikh kompaun dikeluarkan,” katanya dalam sidang media setahun KPDNHEP hari ini.

Tambahnya, SSM selaku pengawal selia korporat akan bertanggungjawab memastikan tahap pematuhan peruntukan Akta Syarikat yang tinggi di kalangan warga komuniti korporat di Malaysia memandangkan pengurusan tadbir urus korporat yang baik dapat menjamin kesinambungan operasi sesebuah syarikat.

Katanya, kewajipan pematuhan ini bagi memastikan majlumat yang disimpan SSM adalah maklumat terkini daj boleh diakses pihak awam dan komuniti korporat bagi membantu pembuatan keputusan bagi pelbagai transaksi perniagaan yang dikendalikan oleh syarikat dalam negara.

“SSM menyarankan agar warga komuniti korporat di Malaysia mengambil peluang ini untuk menjelaskan kompaun bagi mengelakkan sebarang tindakan mahkamah.

“Selepas tindakan mahkamah diambil, tiada sebarang rayuan akan dilayan. Bayaran kompaun juga boleh dibuat di mana-mana kaunter Pejabat SSM di seluruh Malaysia,” ujarnya.

Sebarang pertanyaan berkaitan perkara di atas boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel di [email protected] atau laman sesawang SSM di www.ssm.com.my