SSM peruntuk geran RM900,000 bantu usahawan di Kelantan

SSM peruntuk geran RM900,000 bantu usahawan di Kelantan

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) negeri Kelantan memperuntukkan geran percuma RM900,000 bagi membantu usahawan terutama dalam kalangan belia yang baru memulakan perniagaan di negeri ini.

Pengarahnya, Ab Razak Isa berkata seramai 300 peniaga yang telah lulus temu duga pada 15 Dis lepas terpilih untuk menerima RM3,000 seorang.

“Bantuan itu diberikan dalam bentuk baucer dan mereka boleh menebus nilai tersebut dengan membeli barangan kekal daripada pembekal,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Penyampaian Geran kepada peniaga-peniaga di Kelantan.

Ab Razak berkata, bantuan diberikan kepada beberapa sektor terutama makanan, jahitan, rumah tumpangan dan juga perniagaan dalam talian.

“Peniaga yang menerima bantuan ini akan dipanggil selepas tujuh bulan memulakan perniagaan, bagi mengetahui perkembangan semasa,” katanya.

Penerima, Azri Idlan Jamaluddin, 29, berkata beliau rasa berbangga dan berterima kasih kepada SSM kerana terpilih menjadi seorang daripada penerima geran pada hari ini.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya mengembangkan penternakan arnab pedaging yang saya usahakan sejak pertengahan tahun 2017.

“Penternakan arnab pedaging menjadi pilihan sebab ia industri baharu, dan berharap permintaannya akan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Nor Shukira Naimah, 21, yang membuka kedai makan pula berkata peruntukan bantuan ini akan digunakan untuk membeli peti sejuk beku.

“Dengan adanya peti sejuk beku itu saya yakin dapat melipatgandakan pengeluaran di samping menyimpan barang mentah dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

— BERNAMA