Malaysia Dateline

SST: Jangan risau, banyak harga barang lebih rendah daripada biasa

Orang ramai tidak perlu risau berhubung pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bermula pada hari ini berikutan banyak harga barang dijangka lebih rendah daripada biasa, demikian menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, ini kerana sistem percukaian baharu itu tidak akan melibatkan peningkatan harga yang ketara dan hanya cukai seperingkat dikenakan kerajaan.

Malah katanya, kira-kira 5,443 barang yang diberi pengecualian cukai di bawah pelaksanaan SST berbanding 544 barangan di bawah cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Buat apa hendak panik. Rakyat boleh berbelanja seperti biasa dan SST sepatutnya tidak membebankan rakyat kerana banyak harga barangan sepatutnya turun,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Subromaniam turut menjangkakan lebih 80,000 syarikat pengeluar yang layak akan mendaftar dengan MySST bersempena pelaksanaan SST.

Setakat ini katanya, pihaknya tidak menetapkan tempoh pendaftaran kepada mana-mana syarikat pengeluar kerana ingin memberi peluang dan masa kepada mereka.

Malah jelasnya, pihaknya menjangkakan lebih 90 peratus daripada syarikat yang mendaftar ke MySST adalah pemilik syarikat yang telah pun berdaftar dengan sistem GST (MyGST).

“Setakat ini, hampir 79,000 syarikat pengeluar sudah mendaftar menerusi MySST dan sasaran kami ialah 80,000 syarikat berdaftar menjelang 1 September ini,”katanya.

Sebelum ini, ter­dapat 470,000 syarikat pengeluar yang berdaftar dengan sistem MyGST.

Tambah Subromaniam, proses peralihan daripada GST ke SST setakat ini berjalan lancar walaupun pihaknya menjangkakan berlaku sedikit kekalutan atau salah faham.

Sehubungan itu katanya, penambahbaikan SST akan tetap dilakukan dari semasa ke semasa.