SST: Pilihan terbaik di tangan pengguna, kata Fomca

SST: Pilihan terbaik di tangan pengguna, kata Fomca

Mohd Yusof Abdul Rahman

Pengguna perlu bijak membeli-belah sekiranya tidak mahu terbeban dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 1 September ini biarpun beberapa barangan keperluan asas dikecualikan daripada cukai itu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pengguna diharap dapat memahami konsep SST kerana ia berbeza dengan cukai SST yang pernah dikenakan sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan pada 2015.

“Pengguna perlu faham bahawa mungkin harga sesetengah barangan di luar jangkaan mereka, jadi pemahaman lengkap mengenai barangan yang dikenakan cukai dan tidak perlu ada pada pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Yusof berkata pilihan terletak di tangan pengguna sama ada untuk berbelanja secara cermat mahupun sebaliknya, memandangkan mungkin ada barang keperluan asas yang dikategorikan sebagai barang mewah yang dikenakan cukai.

“Pada masa sama, peniaga juga perlu menunjukkan tanggungjawab mereka dengan mempamerkan tanda harga demi makluman pengguna. Kalau ada restoran kenakan cukai perkhidmatan, mereka juga perlu meletakkan label yang tertera bahawa SST dikenakan di premis mereka itu,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau turut menggalakkan pengguna menyimpan resit pembelian untuk mengesan sebarang kenaikan harga mendadak selepas SST.

“Budaya menyimpan resit ini perlu bagi membendung penyelewengan perniagaan yang mungkin berlaku dan pengguna sentiasa boleh melaporkan kepada Fomca atau pihak Kastam sekiranya terdapat sebarang keraguan,” katanya.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy sebelum ini dilaporkan berkata kadar SST dan senarai barangan yang dikecualikan cukai dijangka dikeluarkan dalam masa dua hari.

Senarai itu sedang dimuktamadkan dan tidak akan mempunyai perubahan besar pada senarai tersebut, katanya merujuk kepada panduan industri yang dimuat naik dalam laman sesawang kastam di https://mysst.customs.gov.my.

Berdasarkan senarai itu, barang keperluan asas seperti air minuman, tepung, telur dan beberapa jenis ikan turut dikecualikan daripada SST manakala barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk dikenakan 10 peratus.

Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata peniaga yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan SST tidak akan dikenakan tindakan oleh kerajaan sekiranya mempunyai alasan yang munasabah.

Lim berkata kementerian juga tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk membolehkan semua peniaga mendaftar namun SST akan tetap dikenakan walaupun pengusaha perniagaan lambat atau belum membuat pendaftaran sebaik SST dikuatkuasakan.

Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan pada 20 Ogos di Dewan Negara tanpa pindaan.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS