Malaysia Dateline

SST tidak bebankan rakyat, kata Menteri Kewangan

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memandangkan kerajaan hanya akan mengutip RM21 bilion setahun dan ‘memulangkan’ perbezaan RM23 bilion kepada mereka, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kutipan SST diunjurkan hanya RM21 bilion bagi setahun penuh berbanding unjuran GST kerajaan terdahulu sebanyak RM44 bilion bagi 2018.”Tuduhan oleh Umno bahawa SST akan membebankan rakyat berbanding GST tidak logik.

“Menurut mereka, pengumuman saya bahawa pengenalan semua sistem percukaian lama dengan cukai jualan pada 10 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bermakna kadar cukai adalah pada 16 peratus, lebih tinggi berbanding enam persatu GST,”katanya menerusi satu kenyataan.

Lim berkata ini tidak benar, kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menambah peratusan cukai jualan dan cukai perkhidmatan, ‘seperti menyamakan epal dan limau.’

Kerajaan yang diketuai oleh Pakatan Harapan mahu kembali kepada SST – sistem percukaian sebelum GST – mulai 1 Sept dan memansuhkan GST.

Lim yang mengulas salah faham yang ditularkan hari ini, berkata Cukai Jualan pada kadar antara 5 peratus dan 10 peratus digunakan untuk produk dikilangkan dan produk tertentu yang diimport dan bukan semua produk, berbanding GST.

Bagi Cukai Perkhidmatan 6 peratus, beliau berkata ia digunakan untuk perkhidmatan tertentu dan bukan semua perkhidmatan, berbanding yang dikenakan oleh GST.

Lim juga berkata Cukai Jualan dikenakan ke atas harga kilang dan harga import, manakala GST dikenakan ke atas harga peringkat akhir yang dibayar oleh pengguna.

“Oleh itu adalah salah untuk mendakwa Cukai Jualan 10 peratus lebih tinggi daripada cukai GST pada 6 peratus,” katanya.

Lim berkata sebagai contoh, pembekal mengenakan kadar 10 peratus Cukai Jualan (10 sen) ke atas minuman ringan yang dikilangkan pada kos RM1.00.

“Apabila air tin yang sama dijual kepada pengguna di 7-Eleven pada harga RM2.00, kadar 6 peratus GST sebanyak 12 sen akan dikenakan. Dalam kes ini, jelas bahawa 6 peratus GST sebanyak 12 sen, lebih tinggi berbanding 10 peratus SST,” katanya.

Lim berkata Kementerian Kewangan telah menjalankan latihan semakan SST yang komprehensif dengan bantuan perunding cukai dari Pricewaterhouse Coopers (PwC).

“PwC akan membantu merasionalkan keperluan kutipan dan pelaporan cukai untuk memastikan SST akan lebih cekap berbanding GST, bahkan sistem SST lama.

“PwC akan memastikan SST yang dikenakan pada 1 Sept menjadi lebih mudah, ringkas, dan mampu mengelak kebocoran cukai.

Butiran penambahbaikan akan diumumkan apabila Rang Undang-undang baharu SST dibentangkan pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung, katanya.