Stadium Malawati: Lega, KKM setuju pesakit Kategori 1 dan 2 tidak perlu ke CAC

Oleh NASUHA RAHMAN

Kini pesakit kategori 1 dan 2 tidak perlu lagi hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Kenyataan Media KKM memaklumkan pada 23 Julai 2021 untuk pengecualian diberikan pada pesakit kategori itu untuk hadir ke CAC bagi tujuan penilaian.

Menurut kenyataan media yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Chong Chee Kheong yang mengetuai Pasukan Khas ‘Greater Klang Valley’ (GKV) pengecualian itu diberikan hanya untuk CAC yang berada dalam liputan ‘Greater Klang Valley’ sahaja.

Koordinator Fasiliti mewakili Kerajaan Negeri Selangor yang terlibat membantu CAC Stadium Malawati tersebut, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, KKM akhirnya bersetuju atas saranan hampir setahun lamanya oleh Kerajaan Selangor, khasnya STFC yang dipengerusikan mantan Menteri Kesihatan,  Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pesakit tahap 1 dan 2 tidak lagi diwajibkan hadir ke CAC demi mengurangkan kesesakan dan pertambahan pesakit yang sungguh luar jangka sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Dengan keputusan itu, pesakit ini tidak lagi perlu berebut ke CAC setiap subuh hari dan bersesak beratur sampai berlaku perebutan dan pergaduhan yang amat menyedihkan semua yang melihat.

“Pesakit di GKV ‘Greater Klang Valley’ yang positive Covid-19 tapi berada di kategori 1 (tiada gejala) atau kategori 2 (bergejala ringan) kini diwajibkan menggunakan applikasi online yang mempunyai fungsi HAT (‘home assessment tools’) untuk tujuan penilaian kendiri di rumah.

“Manakala pihak KKM pula akan hanya lakukan pemantauan dari ‘Bilik Operasi’ yang diuruskan oleh KKM setiap hari,” katanya.

Dengan keputusan terakhir KKM itu katanya tidak akan ada lagi kebanjiran atau himpunan raksasa pesakit Covid-19 berlaku di CAC Malawati yang viral sejak sekian lama.

Semalam, menurutnya lebih 4,300 pesakit membanjiri CAC Malawati, namun dengan keputusan terbaru ini mungkin hanya sekitar 20% atau 860 pesakit sahaja yang sepatutnya hadir mendapatkan penilaisan di CAC Malawati, jika keputusan itu dikuatkuasakan lebih awal.

“Yang lain, sehingga 80% hingga 95% hanya diminta terus kekal lakukan kuarantin di rumah untuk tempoh ditetapkan, dan mereka perlu membuat laporan berkala ke dalam applikasi online yang dibangunkan tersebut.

“Keputusan ini pasti ada pelbagai pihak yang bersetuju dan tidak. Tapi saya amat yakin kelebihan dan kebaikan pada keputusan ini jauh lebih banyak daripada kelemahannya.

“Mesti ramai pesakit yang ‘sihat walafiat’ yang terpaksa beratur berjam-jam lamanya di luar CAC Malawati yang bersyukur atas keputusan yang sangat ditunggu-tunggu ini,” kata beliau.

Justeru, kata beliau, keputusan ini sekali gus merupakan satu pengiktirafan KKM atas suatu applikasi online yang begitu canggih menggunakan fungsi ‘artificial intelligence’ untuk pemantauan kes Covid-19 iaitu ‘Selangkah’ yang dibangunkan kerajaan Selangor yang sudah terbukti berbulan lama mengawal dan memantau pesakit di beberapa Daerah di Negeri Selangor.

Aplikasi Selangkah tersebut juga telah lama digunakan oleh KKM sendiri di Selangor.

Pihak KKM juga mengingatkan kepada mana-mana pesakit yang masih lagi memerlukan bantuan atau pertanyaan berkaitan perkara ini untuk terus berhubung dengan CAC Call-Centre di talian 03-77239299 yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau jika gejala telah bertambah teruk pesakit diminta untuk terus mendapatkan rawatan segera di hospital berdekatan.