Malaysia Dateline

Stadium mini pontian

Stadium Mini Pontian disalahguna jadi tempat letak kereta, terbiar

 

Parti Amanah Negara (amanah) Kawasan Pontian mendesak kerajaan negeri Johor agar menyelenggara Stadium Mini Pontian yang kini gagal berfungsi sebagai kawasan kesukanan di daerah itu.

Pengerusi Pusat Peduli Rakyat Pulai Sebatang Pontian Mohd Taqiuddin Cheman berkata, Stadium Mini Pontian yang akan dibangunkan menjadi stadium penuh atau stadium yang sempurna dakwanya kini hanya angan-angan kosong.

“Amanah Kawasan Pontian bersama Pusat Peduli Rakyat N54 Pulai Sebatang telah mendapat laporan dari orang ramai termasuk pihak sekolah di daerah Pontian berkenaan dengan kelengkapan yang disediakan di Stadium Mini Pontian itu yang tidak dilengkapi dengan ciri-ciri sebuah stadium untuk diadakan aktiviti sukan selain bola sepak.

“Dalam tinjauan pihak kami, stadium itu telah dijadikan tempat meletakkan kenderaan sewaktu bulan Ramadhan yang lalu dan kelihatan stadium itu terbiar tanpa ada sebarang penyelenggaraan yang baik dari segi infrastruktur dan kualiti padang,” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya lagi sewajarnya pihak berwajin gagal menaik taraf stadium mini untuk dijadikan stadium penuh dilihat seperti indah khabar dari rupa.

Beliau turut mendakwa aktiviti sukan di sekolah-sekolah sekitar Pontian terpaksa mengadakan aktiviti sukan mereka di luar daerah Pontian.

“Sepatutnya aktiviti sukan seperti pertandingan sekolah peringkat MSSD (Majlis Sukan Peringkat Sekolah-Sekolah Daerah) terpaksa mengadakan atau menjalankan aktiviti tersebut di luar kawasan daerah Pontian kerana infrastruktur stadium dan kelengkapan sukan yang tidak memenuhi kehendak sukan tersebut.

“Pihak kami mendesak agar kerajaan negeri Johor menyemak semula berkenaan penaik tarafan stadium mini ini bagi memudahkan seluruh penduduk di daerah Pontian untuk mengadakan serta menjalankan aktiviti sukan di stadium tersebut. Khususnya menyediakan pelbagai kelengkapan dan menyelenggara semula stadium tersebut baik di tahap keselematan ataupun dari segi infrastruktur yang kian lapuk yang masih berada di kawasan stadium tersebut,” ujarnya.