Akhbar antarabangsa baru-baru ini melaporkan kes kehilangan cincin bernilai RM3.8 juta milik jutawan Malaysia di sebuah hotel mewah di Paris.
Tular di media sosial, pemilik cincin yang merupakan seorang usahawan itu membuat laporan polis selepas mensyaki pekerja hotel Ritz di Paris mencuri barang kemasnya.
Walau bagaimanapun, pegawai keselamatan hotel tersebut berjaya menemukannya di dalam beg pembersih hampagas atau vacuum selepas dua hari dilaporkan hilang.
Meskipun tidak menafikan bahawa insiden kehilangan tersebut benar berlaku, namun pihak pengurusan hotel The Ritz berpendapat kejadian itu bukanlah satu kes pencurian.
Akan tetapi, pihak pengurusan akan menghormati keputusan pendakwa raya di Paris sama ada mahu menutup ataupun melanjutkan siasatan kes ini, lapor Le Parisien.
“Berkat kerja-kerja pencarian yang teliti oleh pegawai keselamatan kami, cincin itu berjaya ditemui pagi ini (Ahad). Pelanggan (pengadu) gembira menerima berita ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pekerja Ritz Paris yang bertanggungjawab dalam pencarian ini kerana bekerja setiap hari dengan integriti dan profesionalisme,” katanya memetik laporan Le Parisien.
Terdahulu, ahli perniagaan asal Malaysia yang enggan dikenali itu dilaporkan keluar daripada bilik hotel untuk membeli-belah di bandar Paris pada awal pagi Jumaat.
Sekembalinya di hotel kira-kira pada pukul 11.30 pagi, wanita berkenaan mendapati cincin miliknya yang bernilai 750,000 euro (RM3,843,063.16) hilang dari pandangan.
Tampil membuat laporan polis pada hari yang sama, barang kemas itu ditinggalkan oleh pengadu di atas meja dalam bilik hotelnya sebelum keluar pergi membeli-belah.
Pengadu kemudian terbang ke London pada hari Sabtu namun akan kembali ke Paris untuk mengambil semula barang kemasnya yang kini berada dalam simpanan polis.
Menurut Le Parisien, pengadu berkenaan turut menolak pelawaan pihak pengurusan The Ritz untuk menginap di hotel itu selama tiga hari dua malam secara percuma.
Difahamkan, kejadian pencurian melibatkan ‘kelas atasan’ seperti ini bukanlah kali pertama berlaku di hotel mewah yang terletak di Place Vendome, Paris, Perancis itu.
Malah, seorang kerabat diraja Arab Saudi juga pernah melaporkan kehilangan barang kemas bernilai 800,000 euro (lebih RM4 juta) di hotel yang sama pada tahun 2018.
Baca juga: Dijamin tak meletup kalau ikut, wanita kongsi ilmu cuci dan goreng ikan keli dengan betul