Statistik pelarian daftar UNHCR meningkat

Statistik pelarian daftar UNHCR meningkat

Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) mendedahkan seramai 170,000 pelarian yang mencari tempat perlindungan di Malaysia adalah pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Namun begitu, tahun ini UNHCR telah menerima peningkatan statistik pelarian yang berdaftar di bawah pertubuhan tersebut walaupun sesetengahnya sudah bertahun menetap di Malaysia.

Wakilnya, Thomas Albrecht berkata, peningkatan itu bukan berpunca dari kebanjiran pelarian yang meningkat setiap tahun, tetapi ia berikutan dengan janji kerajaan pada hari ini yang memberi jaminan untuk terus membela pelarian yang datang ke negara ini.

“Peningkatan warga pelarian yang mendaftar di bawah UNHCR ini bukan lah satu ekspresi yang menunjukkan terdapat penambahan bilangan pelarian dalam negara.

“Tetapi ini merupakan harapan mereka yang sudah menetap bertahun-tahun di Malaysia, terhadap janji kerajaan yang akan membenarkan mereka untuk menetap secara sah dan mendapatkan hak pekerjaan sementara menunggu penyelesaian kepada pergolakan yang berlaku di negara mereka.

“Salah satu manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menyediakan penempatan sementara disamping peluang untuk mendapatkan hak asasi mereka. Saya puji kerajaan Malaysia atas inisiatif dan pandangan jauh ini,”katanya dalam majlis makan malam sempena Hari Perlarian Sedunia,hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, dengan pencabulan hak asasi manusia dan cabaran yang semakin meningkat, komuniti antarabangsa diminta untuk melindungi pelarian melalui prosedur yang adil dan berkesan menerusi sumbangan kewangan global, inisiatif politik, dan usaha penempatan semula yang lebih baik.

Tambahnya, UNHCR Kuala Lumpur juga sedang mengkaji secara menyeluruh pendekatan untuk menyediakan perkhidmatan dan maklumat yang tepat dan terbaik untuk golongan migran di Malaysia.

Tambahnya juga, UNHCR di Malaysia akan terlibat sepenuhnya dalam usaha membela hak pelarian dan memperluas kepakaran dan kerjasama bersama kerajaan supaya dapat merealisasikan Janji Manifesto PH yang ke 35.

Laporan UNHCR mendedahkan sehingga May 2019, seramai 174,000 pelarian yang berdaftar dibawah UNHCR di Malaysia di mana majoriti daripadanya ialah dari warga Myanmar, termasuk 93,000 pelarian Rohinya; dan 23,000 lagi merupakan pelarian dari Pakistan, Yemen, Somalia dan Syria.