Malaysia Dateline

Status Ismail gambaran jelas ciri-ciri kerajaan gagal, kata Puad

Bermacam-macam tafsiran dibuat ke status Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri, bagaimanapun berlainan pula tafsiran Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Bagi Puad, tafsiran yang paling tepat dengan apa yang dikongsikan Ismail ialah tidak ada keselarasan antara menteri kabinet.

“Pokoknya tafsiran paling tepat isu “pintu” ini ialah tidak ada “keselarasan” antara menteri kabinet,” kata Puad.

Katanya, tidak ada keselarasan antara menteri kabinet ini merupakan ciri-ciri sebuah kerajaan gagal seperti sebuah kapal tidak ada nakhoda.

“Kapal macam tidak ada nakhoda. Bolehkah total lockdown berjaya?

“Ini ciri “Kerajaan Gagal”. Tiada team work. Hari ini sahaja 126 kematian. Menakutkan,” tulis beliau.

Beliau percaya status Ismail yang menyebut ‘pintu’ sangat popular dikaitkan dengan Azmin dan Zuraida.

“Oleh kerana ia dikaitkan dengan pintu, ada satu survey pernah dibuat tidak lama dulu oleh netizen.

“Pilih, “Azmin Ali” atau “Tombol Pintu”.

“Hasil survey adalah seperti yang dijangkakan,” ujar beliau.

Petang tadi, status Ismail “saya dah tutup pintu depan tapi…….” di facebook mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan netizen.

Ada yang menelah Ismail bersedih dengan apa yang berlaku ketika PKP penuh baru bermula semalam di mana sasaran untuk memutuskan rantaian COVID-19 tidak mungkin berjaya kerana sikap seorang menteri kabinet.