Status kerjasama  Pas-PPBM diketahui Jumaat ini

Status kerjasama Pas-PPBM diketahui Jumaat ini

 

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka memberikan penjelasan berhubung kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Jumaat ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut akan ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

“Saya mengetuai pertemuan dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir awal bulan lalu dan seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat perlu mendengar sendiri penjelasan Presiden parti sekali gus membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Langkah seterusnya adalah mengkaji tindakan susulan dalam Muktamar Tahunan Pas April ini sebelum Majlis Syura Ulama membuat keputusan muktamad,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya lagi, Pas tidak terikat dengan sebarang tempoh atau mana-mana pihak termasuk Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad dalam membuat sebarang keputusan berkaitan parti.

Jelasnya, tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dan mana-mana parti lain bukan keputusan individu tetapi melibatkan perbincangan semua pihak di peringkat akar umbi hingga kepemimpinan tertinggi.

Walau bagaimanapun Abdul Hadi semalam telah memberikan ‘isyarat’ menolak kerjasama dengan PPBM ekoran hubungan semasa parti berlogokan bunga raya itu dengan Amanah dan DAP.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, tahaluf siyasi juga akan sentiasa dikaji dari semasa ke semasa kerana boleh diputuskan pada bila-bila masa jika ada parti atau pihak berkaitan bertindak mengkhianati Pas.

“Jika Dr. Mahathir mempersoalkan isu penyertaan Pas dalam pakatan pembangkang, kita memang tidak akan menyertainya semula. Jadi, tidak perlu memberi sebarang tempoh,” ujarnya lagi.

Prosedur ‘berliku’ Pas dalam menentukan kerjasama dengan PPBM secara umumnya menyaksikan tiga peringkat yang perlu dilalui iaitu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat diikuti pembentangan dalam muktamar tahunan parti sebelum dimuktamadkan dalam Majlis Syura Ulama.

Sehubungan itu, banyak pihak dalam Pakatan Harapan menyifatkan menantikan hasil rundingan dengan Pas dalam soal kerjasama bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru tidak lebih hanya membuang masa ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin suntuk.

COMMENTS

Wordpress (0)