Status MPKKP di Sarawak belum dimuktamad

Status MPKKP di Sarawak belum dimuktamad

Status Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang ditubuhkan di Sarawak belum lagi dimuktamadkan.

Menurut Setiausaha Kerja Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak Lahaji Lahiya, pihaknya masih menunggu mesyuarat peringkat kepimpinan negeri komponen Pakatan Harapan (PH) Sarawak bagi mengesahkan kawasan-kawasan yang diluluskan penubuhan MPKKP.

Katanya,untuk kawasan di 13 Dewan Undangan Negeri (Dun) yang pernah ditandingi AMANAH Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN11), sebanyak 180 borang penubuhan telah diterima.

“Makluman kepada semua, kita masih lagi menanti pihak kepimpinan PH Negeri bermesyuarat yang dijadualkan penghujung bulan ini.

“Ini adalah bagi memastikan tiada pertindihan borang dari kalangan parti kompenan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bersatu, DAP dan AMANAH selepas tarikh akhir menghantar borang 3 November lalu.

“Borang-borang penubuhan itu adalah bagi fasa pertama manakala untuk penubuhan fasa kedua adalah selepas kawasan menghantar borang November lalu dimuktamadkan,” jelas beliau ketika ditemui di Pejabat AMANAH Sarawak di Kuching hari ini.

Jelas beliau,proses penubuhan MPKKP di Sarawak telah menerima kerjasama baik dan berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah…proses penubuhan MPKKP telah diterima baik daripada seluruh masyarakat di negeri ini walaupun diakui terdapat pihak-pihak yang mengecam mengatakan MPKKP akan memecah-belahkan penduduk di Sarawak.

“Namun apa yang kita lihat, sambutan penduduk dan masyarakat adalah menggalakkan malah mereka amat mengalu-alukan penubuhan MPKKP,” tegas Lahaji.

Seterusnya, beliau menjangkakan akan banyak lagi kampung -kampung di bawah seliaan AMANAH Sarawak untuk menghantar borang penubuhan bagi fasa kedua nanti.

Tambahnya, memandang terdapat kampung dan rumah panjang yang menggunakan pengangkutan jalan sungai dan laut, telah menyukarkan pihaknya untuk berurusan dengan kadar yang segera.

Ditanya tujuan MPKKP ditubuhkan, beliau menjelaskan ia bagi memudahkan penduduk khususnya di luar bandar dan pedalaman menerima informasi berkaitan projek pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau turut melahirkan kekecewaan kerana terdapat pihak-pihak yang cuba mengecam serta menghasut penduduk kampung supaya menolak MPKKP

“Oleh demikian, kita yakin bahawa dengan penubuhan MPKKP nanti, penduduk kampung akan dapat mengetahui maklumat secara terus daripada kerajaan pusat berkaitan insentif-insentif yang disediakan untuk rakyat di negeri ini,'” tegas beliau.