Malaysia Dateline

Status Najib sebagai MP kekal sehingga rayuan kepada Agung beres, kata Speaker

Walaupun sudah mula menjalani hukuman 12 tahun penjara, kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Ahli Parlimen kekal buat masa sekarang sehinggalah petition pengampunan beliau kepada Yang Dipertuan Agung dibereskan, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azizan Azhar Harun.

“Memandangkan petisyen pengampunan telah difailkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bawah perkara 42 pada 2hb September 2022, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kuatkuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak).

“Ini bermakna status Datuk Seri Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” kata Azhar dalam kenyataannya hari ini.

Azhar berkata, beliau telah menerima serahan dokumen-dokumen permohonan pengampunan yang bertarikh 1 September, surat daripada peguam Najib yang diakuterima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPOM pada 2 September dan perintah jenayah terhadap Najib oleh Mahkamah Persekutuan.

Azhar berkata, berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan mana-mana ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau didenda sebanyak tidak kurang dari RM2,000 akan kehilangan kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, kuatkuasa Perkara 48(1)(e) adalah tertakluk kepada peruntukan perkara 48(4) dan 53(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, Perkara 48(4)(C) memperuntukkan bahawa sekiranya satu petisyen pengampunan difailkan oleh Ahli Parlimen yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan ahli Parlimen berkenaan hanya akan berkuatkuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan (sekliranya petisyen ditolak),” katanya.

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin bersetuju dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat berkenaan perkara ini.

“Pada hemat saya, TS Speaker tidak salah dalam kenyataan dia di atas,” kata Hanipa kepada Malaysia Dateline ketika mengulas isu ini.

“Ya, bagi saya kedudukan Najib Razak sebagai YB Pekan tidak hilang pada saat ini kerana dia telah kemukakan petisyen pengampunan dalam masa 14 hari difailkan dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Walaupun sekecewa manapun mungkin kita tentang kenyataan TS Speaker itu, saya berpendapat selagi mana apa yang beliau katakan itu masih dalam landasan Perlembagaan, kita masih perlu menghormatinya,” kata Ahli Parlimen Sepang itu.

Bagaimanapun, kata Hanipa, Najib tidak boleh menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya beliau belum diampunkan ketika itu.

“Sukacita ditekankan di sini ada perbezaan di antara kedudukan YB Pekan sekarang dan pada masa akan datang jika ditakdirkan Parlimen dibubarkan dalam keadaan dia diandaikan tidak menerima pengampunan penuh dari YDPA, maka dia TIDAK boleh dibenarkan untuk menjadi calon dalam PRU -15,” katanya.