Bonda Rozita kongsi foto tunai umrah bersama suami baharu, status perkahwinan terjawab

Oleh WAN SITI AMINAH

Teka-teki mengenai status perkahwinan usahawan, Rozita Ibrahim akhirnya terjawab apabila wanita itu memuat naik gambar bersama suami baharunya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.

Pasangan suami isteri yang bergambar membelakangkan Kaabah itu dipercayai sedang berada di Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan umrah sekaligus mengambil keberkatan menunaikan ibadah di bulan Ramadan.

Difahamkan, gambar tersebut dikongsi usahawan yang lebih mesra disapa dengan panggilan Bonda Rozita itu dengan tujuan untuk menjawab persoalan pengikutnya mengenai status perkahwinan terbaharunya.

Rozita turut memuat naik satu gambar tangkap layar memaparkan pesanan secara terus (DM) daripada salah seorang pengikutnya yang memintanya untuk tidak lagi menyembunyikan pernikahannya.

Usahawan itu turut berkongsi doanya di ruangan kapsyen memohon keberkatan dan keampunan Allah SWT untuk dirinya dan keluarga serta memohon agar diberi kekuatan untuk menjadi hamba yang lebih baik.

“Menjawab persoalan dari pengikut. Bulan penuh di atas Kaabah pada pukul 4 pagi waktu Mekkah. Selesai umrah pada jam 6.30 pagi. Bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, kami datang kepadaMu dengan hati yang penuh harapan dan tangan yang menadah keampunan.

“Kami adalah hambaMu yang lemah, penuh dosa dan kekurangan. Namun kasih sayang-Mu tak pernah bertepi. Ampunkanlah kami, Ya Allah. Atas segala khilaf kami yang sengaja mahupun tidak. Ya Allah, di bulan yang suci ini. Bersihkanlah hati kami daripada segala noda.

“Jauhkanlah kami daripada sifat mazmumah, pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai. Kuatkanlah hati kami untuk terus beribadah dengan ikhlas dan istiqamah. Agar Ramadan ini menjadi titik perubahan untuk kami menjadi hambaMu yang lebih baik,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, desas-desus mengenai perkahwinan baharu Rozita mula timbul apabila seorang lelaki berkumis tiba-tiba muncul di dalam satu sesi siaran langsung dilakukan oleh usahawan itu ketika berada di sebuah bilik hotel.

Kemudian timbul pula dakwaan bahawa lelaki berkenaan adalah abang kepada pelakon iaitu Rebecca Nur AI Islam susulan aktres terbabit memanggil Rozita dengan gelaran ‘kakak iparku’ dalam satu sesi siaran langsung.

Tidak lama selepas itu, anak kepada Rozita iaitu Nur Ain Sufiah mengesahkan bahawa ibunya telah menikah lagi namun enggan mendedahkan punca perpisahan usahawan terbabit dengan suami terdahulu.

Baca juga: Patutlah budak sekarang nak jadi ‘content creator’, buat video je boleh dapat RM80k