Status PR tidak terlepas undang-undang negara

Status PR tidak terlepas undang-undang negara

Sesiapa yang menyentuh sensitiviti kaum sehingga mencetus ketidakstabilan negara tidak akan terlepas daripada undang-undang negara, termasuk mereka yang mendapat status Pemastautin Tetap (PR), kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata sekiranya warganegara tertakluk kepada undang-undang, mereka yang berstatus PR lebih-lebih lagi perlu patuh kerana taraf PR dianggap sebagai satu anugerah.

“Dr Zakir Naik sama semua…ada masyarakat Islam nak pertahan dia, betul, dia seorang penceramah dan tokoh (Islam) tetapi kalau dia sentuh hal-hal tertentu macam sekarang, kita tak boleh biar juga. Kalau sebab itu tercetus keadaan ketidakstabilan kerana rasa tidak puas hati yang merebak meluas, adakah kita nak berdiam diri.

“Ada sempadan yang dia harus patuh, sama ada PR atau warganegara, dia tak terkecuali, tak mengatasi undang-undang yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Nilai Keagamaan dalam Mencegah dan Membalas Ekstremisme Keganasan (PCVE), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan polis terhadap penceramah bebas warganegara India, Zakir yang dilapor membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia ketika ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.– BERNAMA