Status PR Zakir Naik: Kewajaran teliti semula elak kontroversi berlarutan

Status PR Zakir Naik: Kewajaran teliti semula elak kontroversi berlarutan

Kementerian Dalam Negeri disaran agar mencari solusi dan meneliti semula pemberian status Penduduk Tetap (PR) kepada pendakwah Dr Zakir Naik apabila timbul kontroversi dalam masyarakat mengenai keputusan kerajaan itu.

“Kerajaan sudah tentu tidak boleh menarik balik status PR yang diberikan kepada Dr Zakir ketika ini, kerana ia akan memberikan pandangan buruk kepada umat Islam sedunia.

“MDN menyokong Dr Zakir tetapi kita perlu mengunakan pendekatan tertentu dengan pihak berkepentingan mencari penyelesaian untuk menghindari kontroversi dalam negara berlarutan terutama membabitkan masyarakat bukan Islam dan Islam,” ujar Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa kontroversi di kalangan NGO, mufti dan pemimpin politik yang bertelagah berkaitan Kementerian Dalam Negeri yang memberi status PR sejak lima tahun lalu kepada Zakir.

Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy telah bertindak menulis surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan (CTC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Abdellatif Aboulatta, untuk mendesak Malaysia sebagai negara ahli membatalkan status PR yang diberikan kepada Zakir.

Dakwa Hindraf status PR Zakir di Malaysia telah mencetuskan kemarahan orang bukan Islam dan juga sebahagian orang Islam, yang tersinggung dengan ceramahnya.

Perkasa mendesak Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam meletakkan jawatan jika tidak gembira dengan status penduduk tetap diberikan kepada pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali mempertahankan status PR Zakir kerana pendakwah itu memerlukan perlindungan kerana kemungkinan akan dilayan buruk oleh pihak berkuasa di India.

Kontroversi juga timbul apabila Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menulis satu puisi menerusi laman Facebook, antara lain didakwa telah menyinggung penganut agama Hindu.

Beliau kemudiannya memohon maaf kepada komuniti Hindu yang “tersalah faham” maksud “puisi pagi Jumaat” yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan orang bukan Islam.

Dr Zakir NaikWalaupun Asri tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, beliau yang sebelum ini mempertahankan Zakir dikecam beberapa pertubuhan bukan Islam, termasuk Hindraf.

Justeru Dr Mahmood Zuhdi menegaskan, pihak yang menimbulkan kontroversi terutama di kalangan bukan Islam perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Kita kena tengok juga siapa yang menjadi punca kepada kontroversi.

“Hindraf misalnya cara mereka mengemukakan perkara berbangkit boleh menimbulkan semangat perkauman dan kebencian agama.

“Sedangkan perjuangan dan pendirian Hindraf terhadap isu ini tidak mewakili semua golongan India atau orang Islam di negara ini.” ujarnya.

Beliau juga memberitahu MDN kini sedang meneliti hubungan Hindraf dengan Dr Zakir dari sudut pandangan hak asasi manusia dan hak asasi manusia dari sudut Islam.

“Kita kena tahu situasi sebenar siapa Hindraf dan Dr Zakir.

“Apakah sensitivii yang dibawa oleh Dr Zakir kepada rakyat negara ini dan apakah perjuangannya.

” Hindraf pula adakah perjuangkan masalah Dr Zakir semata-mata atau jadikan pendakwah itu sebagai isu untuk menekan kaum India di bawah perjuangan Hindraf,” ujarnya.

Dr Mahmood Zuhdi berkata, kewajaran Zakir diberikan status PR berbanding ribuan lagi warga asing di negara ini yang gagal mendapat status sama, juga tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Status PR tidak perlu dipertikaikan kerana negara memerlukan individu yang boleh menyumbang sesuatu yang tidak boleh disumbangkan oleh orang biasa – walaupun ramai lagi yang bercita-cita untuk menetap di negara ini dan mendapat keistimewaan (PR) itu.

“Juga tidak bererti kerajan beri PR pada Dr Zakir kerajaan menafikan kebolehan rakyat negara ini.

“Saya seorang profesor saya tidak terasa hati kerana Dr Zakir jadi popular kerana itu kelebihannya dan kita perlukan kepelbagaian dalam kerja dakwah,” ujarnya.

Zakir pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 2013.

Dr Zakir adalah pengasas badan dakwah Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) kerap berkunjung ke Malaysia untuk menyampaikan ceramah perbandingan agama.

Mahmood Zuhdi turut menyatakan berkemungkinan cara penyampaian dakwah Zakir yang agak keras kerana terikut-ikut dengan pendakwah seperti Ahmad Dedad dari Afrika Selatan berkemungkinan tidak sesuai di India dan Malaysia.

“Setakat ini ceramah Dr Zakir tidak menyalahi dari segi Islam.

“Sama ada ia sesuai atau tidak jika menyentuh tentang agama lain, kemungkinan cara penyampaiannya terpengaruh dengan cara Ahmad Dedad.

“Method digunakan Dr Zakir agak keras sebagaimana dilakukan Ahmad Dedad di Afrika Selatan lebih ektrim menyerang agama lain sehingga orang kenal Afrika Selatan kerana dakwah Ahmad Dedad.

“Sebab itu kerajaan kena tengok semula kewajaran Dr Zakir  mendapatkan PR di sini. Perlu  selidik sama ada tuduhan ke atas Dr Zakir oleh kerajaan India itu berasas atau tidak.  Bukan hanya semata-mata untuk mempertahankan seorang pendakwah Islam untuk terus diberikan peluang menetap di negara ini.

“Cuma bila menimbulkan kontroversi kita kena semak balik apakah keputusan diambil kerajaan sebelum ini wajar atau tidak,” ujarnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 18 April lalu mengesahkan Zakir telah diberi status PR kira-kira 5 tahun lalu.

Kerajaan India mahu Zakir pulang ke tanah airnya untuk disoal siasat berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan keganasan.

Bagaimanapun Zakir berkata, beliau sedia disiasat menerusi telesidang.

 

COMMENTS

Wordpress (0)