Malaysia Dateline

Status sekolah tahfiz akan dimasuk dalam Enekmen Kawalan Sekolah Agama Islam, kata Fuziah

Kerajaan Pakatan Harapan sedang merangka rang undang-undang bagi memastikan status institusi tahfiz diangkat sebagai sekolah agama di bawah Enekmen Kawalan Sekolah-sekolah Agama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang baharu itu dijangka selepas pengulungan Belanjawan 2019 di Parlimen.

“Kita sedang berusaha untuk membuat pendaftaran semua sekolah tahfiz. Apabila didaftarkan sekolah tahfiz akan tertakluk kepada Majlis Agama Islam, pihak berkuasa tempatan, bomba dan sebagainya.

“Kita sedang merangka satu pindaan rang undang-undang untuk dibawa pada sidang dewan rakyat sesi ini, saya kira awal bulan Disember selepas pengulungan bajet, jawatankuasa akan ada dua hari bentangkan rang undang-undang.

“Ini kerana Enekmen berkenaan pentadbiran sekolah agama,tidak meletakkan definisi sekolah tahfiz sebagai sekolah agama. Apabila kita masukkan pindaan ini, sekolah tahfiz akan terangkum dalam rang undang-undang enekmen sekolah agama.

“Ini akan memudahcara dalam membantu proses pendaftaran dan boleh mengawal selia dari segi keselamatan pelajar.

“Kita tidak boleh kawal selia bagi sekolah tidak berdaftar jika berlaku kes kebakaran atau penderaan.

“Sebab itu kita meletakkan pindaan rang undang-undang itu untuk meletakkan sekolah tahfiz sebagai sekolah agama,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ditanya mengenai  Akta Majlis Tahfiz Negara yang akan diwujudkan dibawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), Ahli Parlimen Kuantan ini menerangkan,  hanya satu badan yang akan melihat kepada pelaksanaan undang-undang untuk penyelarasan tetapi ujarnya ‘task force’ belum lagi dilaksanakan secara bersepadu membabitkan agensi negeri dan majlis Agama Islam Negeri  untuk dibawa ke  peringkat Jabatan Perdana Menteri.

“Buat masa ini,  kita melihat kepada undang-undang sedia ada, adalah enekmen pentadbiran sekolah agama, disitu kita masukkan sekolah tahfiz supaya memberi punca kuasa untuk mengawal selia sekolah tahfiz sebagai salah satu elemen sekolah agama,” ujarnya.

Berkaitan DPTN yang hanya diluluskan di Dewan Undangan Negeri Melaka tidak membabitkan negeri-negeri lain, beliau berkata, walaupun sesuatu dasar itu tidak dibincangkan diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN), dasar itu akan tetap dilaksanakan.

“Saya kira jika negeri tidak menerima DPTN pun, tetap ada pelaksanaannya. Dalam perjumpaan saya dengan Majlis Agama Islam Negeri mereka menunjukkan komited melaksanakannya walaupun tidak dibentangkan dalam DUN masing-masing.

“Ini kerana bukan budaya kita di Malaysia walaupun ia suatu budaya positif. Walaupun belum diterima dan menjadi budaya di pihak pentadbiran negeri.

“Saya rasa banyak perlu dibuat berkaitan reform agensi-agensi agama. Sebaiknya mereka mengambil masa untuk berbahas, melihat kepada enekmen sedia ada yang perlu ditambahbaik dan dipinda sebagainya. Tetapi ia tidak berlaku… jika kita tengok sidang DUN ada bersidang sehari ada tiga hari sahaja,” ujarnya.