Statut Rom:10 NGO serah memorandum sokong kerajaan tarik diri

Statut Rom:10 NGO serah memorandum sokong kerajaan tarik diri
Abdul Rani Kulup (dua dari kiri) mewakili 10 NGO menyerahkan memorandum kepada Datuk Abu Bakar Yahya di Putrajaya hari ini.

Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyokong keputusan kerajaan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Memorandum itu diserahkan wakil NGO terbabit kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di pekarangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup, berkata langkah drastik Perdana Menteri menarik balik penyertaan Malaysia dalam Statut Rom adalah tepat.

“Kami mewakili beberapa NGO mengalu-alukan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana negara kita ada maruah, Perlembagaan serta undang-undang sendiri.

“Rakyat negara ini sudah lama hidup dalam keadaan aman, apa yang penting sekarang semua pihak perlu mengekalkannya dan sentiasa mematuhi undang-undang.

“Jika ada pihak melanggar undang-undang dan melakukan perbuatan melampau, mereka harus ditangkap dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara,” katanya.

Kabinet minggu lalu memutuskan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom kerana kekeliruan timbul dalam masyarakat dan disebabkan cubaan pihak tertentu mengheret institusi raja menentang kerajaan.

Mengumumkan keputusan itu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.