Malaysia Dateline

Statut Rom: Bimbang pertembungan budaya jika diratifikasi, kata peguam

Peguambela dan Peguamcara, Datuk Mohd Imran Tamrin menzahirkan kebimbangan mengenai pertembungan dua budaya sekiranya kerajaan meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, kerajaan akan mengkaji kesesuaian Statut Rom dalam konteks budaya tempatan.

Datuk Mohd Imran Tamrin

Menurut Imran, Statut Rom merupakan satu undang-undang antarabangsa dan budaya antarabangsa tidak semestinya bersesuaian dengan budaya tempatan (Malaysia).

Katanya, sebagai contoh pertama Malaysia tidak mengiktiraf budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), namun budaya itu mendapat sokongan di peringkat antarabangsa.

“Di sesetengah negara, mereka mengambil kira perkara itu (LGBT) sebagai hak asasi manusia dan LGBT dilihat sebagai kebebasan untuk rakyat mereka memilih pasangan hidup.

“Contohnya di Malaysia, apabila LGBT ini bertembung, mungkin ada segelintir atau kumpulan kecil pejuang budaya itu akan menjadikan Statut Rom sebagai dasar atau asas untuk mengganggu-gugat sistem perundangan negara.

“Budaya LGBT di negara ini bukan sahaja tidak diterima oleh masyarakat, malah menjadi satu kesalahan undang-undang terutamanya dalam Kanun Keseksaan.

“Seseorang yang melakukan hubungan sejenis boleh dibicarakan mengikut peruntukan, seterusnya dihukum di mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut, Imran menjelaskan, perkara kedua yang menjadi kerisauan sekiranya kerajaan meratifikasikan Statut Rom adalah berkaitan agama Islam.

Katanya, adalah menjadi kesalahan bagi seorang Muslim untuk keluar dari agama Islam (murtad) dan ianya boleh dihukum di bawah undang-undang Syariah di Mahkamah Sivil.

“Saya bercakap mengenai agama Islam kerana perkara ini (berkaitan agama) boleh menjadi isu perdebatan kepada mereka yang mahukan kebebasan beragama.

Mohd Khairul Azam

“Situasi kebebasan agama itu contohnya seperti penganut agama Kristian boleh masuk Islam.. tetapi kenapa dari Islam tidak boleh tukar kepada Kristian?.

“Dalam situasi sedemikian, saya lihat Statut Rom sekali lagi boleh dijadikan sebagai ‘punca’ kuasa atau ‘alat’ untuk kumpulan ekstremis yang terlibat menyuarakan pendapat mereka,” jelasnya sambil menambah Malaysia mempunyai budaya tersendiri.

Sementara itu, seorang lagi Peguam dan Pakar Undang-Undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pula menyifatkan, Perdana Menteri perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Majlis Raja-Raja terlebih dahulu, jika mahu menandatangani triti berkenaan.

“Paling mustahak saya lihat sekarang ini adalah mendapat persetujuan daripada pihak Raja, kerana sebelum ini kerajaan tidak mendapat persetujuan mengenai perjanjian tersebut.

“Pada saya, kajian budaya tidak penting, yang penting kali ini adalah dapatkan ‘persetujuan’,” katanya.

Empat jenayah yang terdapat dalam perjanjian antarabangsa itu adalah jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.