Malaysia Dateline

Statut Rom diterima kerana yakin tiada pemimpin dirujuk ke ICC

Keputusan kerajaan untuk menerima Statut Rom yang sekali gus menjadi pihak dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana yakin tiada pemimpin negara ini yang berpotensi melakukan kesalahan besar yang disenaraikan di bawah statut itu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata empat jenayah serius itu yang boleh dirujuk ke ICC ialah pembunuhan beramai-ramai menghapuskan etnik, jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah

Selain itu, katanya, ICC hanya akan dirujuk sebagai jalan terakhir, seandainya sistem kehakiman negara tidak berkemampuan atau tidak ada kemahuan untuk mengadili mereka yang melakukan empat kesalahan besar berkenaan.

“Kerajaan mempunyai keyakinan penuh tiada sesiapa pemimpin Malaysia akan melakukan sama ada satu atau mana-mana jenayah yang tersenarai dalam ICC,” katanya ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja berkaitan Kementerian Luar di Dewan Rakyat, hari in sperti dipetik bharianonline.

Saifuddin berkata berkata ICC adalah pertubuhan bebas dan tidak memihak kepada mana-mana negara.

“Ia memainkan peranan sebagai mahkamah pilihan terakhir atau `court of the last resort’. Dalam erti kata lain, ICC ini hanya akan gunakan bidang kuasa apabila sistem perundangan negara tidak berkemahuan atau berkemampuan untuk mengambil tindakan.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, kerajaan hanya akan menerima perkara yang baik dan sesuai di negara ini sekiranya menandatangani Statut Rom, manakala perkara yang melanggar norma kehidupan rakyat Malaysia tidak boleh dilaksanakan.

Menjawab pencelahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas)s sama ada proses ratifikasi Statut Rom mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Saifuddin berkata, perkara itu tidak termasuk dalam sembilan perkara yang memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja di bawah Artikel 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam konteks Mahkamah Jenayah Antarabangsa, ia tidak termasuk dalam sembilan perkara yang membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Saifuddin juga berkata kira-kira 100 perjanjian yang berkait dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diratifikasi di negara ini tanpa dibawa ke Dewan Rakyat .

Selain itu katanya, kedudukan Yang di-Pertuan Agong juga terus terpelihara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan walaupun statut itu diterima oleh kerajaan.