Statut Rom: Empat ahli akedemik bentang rumusan berat sebelah, satu pengkhianatan, kata Patriot

Statut Rom: Empat ahli akedemik bentang rumusan berat sebelah, satu pengkhianatan, kata Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) mengkritik tindakan empat ahli akademik dari Universiti Awam yang dikatakan telah menghantar satu rumusan eksekutif kepada Majlis raja-raja tanpa pengetahuan kerajaan malahan dibuat secara sulit.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji berkata, pihaknya turut kesal dengan tindakan kerajaan yang menarik balik perakuan terhadap Statut Rome yang menjadi perdebatan dikalangan rakyat dan ahli akademik.

Perdebatan tersebut berlaku berikutan teguran Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang berpendirian bahawa Statut Rome bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Perbuatan empat ahli akademik ini agak keterlaluan dan ternyata rakyat terutama orang Melayu telah terkeliru dalam isu Statut Rome.

“Ramai pakar undang-undang di negara kita telah menjelaskan bahawa ratifikasi tersebut tidak mengancam kuasa Yang Dipertuan Agong (YDPA) atau kuasa raja.

“Saya menggesa kerajaan untuk meleraikan kekeliruan secepat mungkin dan mengambil tindakan tegas bagi membetulkan persepsi rakyat terhadap Statut Rome melalui media massa terutama sekali menyentuh aspek kuasa-kuasa YDPA,”katanya dalam sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, Patriot menyokong tindakan sekumpulan penuntut Universiti Malaya (UM) yang mendedahkan kepada umum rumusan eksekutif empat ahli akademik berkenaan.

Beliau turut memuji keberanian pelajar yang akan menganjurkan sesi perdebatan diantara ahli akademik yang menyediakan rumusan tersebut bersama beberapa ahli akademik lain yang pakar dalam Perlembagaan Persekutuan pada 27 April ini.

“Jika ahli akademik berkenaan berani membuat rumusan eksekutif secara sulit, mereka juga akan berani berdebat secara terbuka mengenai apa yang telah dirumuskan,”ujarnya.

Leftenan Kolonel (B) Ahmad Ghazali

Sementara itu, Leftenan Kolonel (B)  Ahmad Ghazali, menegaskan bahawa tindakan yang berniat jahat menipu raja-raja dan mencetuskan pergolakan, dilihat sebagai satu pengkhianatan.

Beliau yang juga ahli Patriot, mempersoalkan kajian empat ahli akademik berkenaan sama ada mereka berniat memberi kepakaran yang terbaik untuk dipertimbangkan oleh raja-raja atau mempunyai motif tersembunyi.

“Jika mereka yakin isi kandungan rumusan yang dihantar itu betul dan keputusan tidak ratifikasi itu yang paling terbaik, jadi mereka sepatutnya menjelaskan pendirian mereka kepada orang awam dan mempertahankan dapatan itu.

“Memo mereka telah mencipta situasi tidak senang di kalangan rakyat dan memaksa kerajaan untuk menarik semula ratifikasi tersebut. Jadi mereka berhutang satu penjelasan terhadap rakyat dan komuniti akademik,”ujarnya.

Empat ahli akademik dinamakan itu ialah pensyarah undang-undang dan Perlembagaan, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad; Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Ini susulan 9 aktivis pelajar mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat ahli akademik yang didakwa berat sebelah dan digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja supaya menolak Statut Rom ICC.

Kertas kerja itu didakwa menjadi punca kepada keputusan kerajaan menarik balik ratifikasi Statut Rom ICC itu.