Statut Rom: Patriot gesa kerajaan bentang di Parlimen

Statut Rom: Patriot gesa kerajaan bentang di Parlimen

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa kerajaan untuk membentangkan semula ratifikasi Statut Rom di Parlimen melalui proses demokrasi yang tepat.

Presidennya, Datuk Mohamed Arshad Raji, berkata Statut Rom perlu dibincang dan dibahaskan secara terbuka di semua peringkat masyarakat, institusi tinggi dan diberi liputan media yang luas untuk pemahaman rakyat Malaysia.

Katanya, kemungkinan besar terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan ataupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan spekulasi yang tidak benar.

“Rakyat sudah keliru dengan ratifikasi Statut Rom ini. Sebenarnya perkara ini tidak memberi kesan pada rakyat dan raja.

“Ratifikasi ini sama sekali tidak melibatkan kuasa raja-raja. Tak perlu takut kerana jika Statut Rom ini ingin menganiaya rakyat, mereka sudah lama bangkit menentang.

“Jadi kami kesan kemungkinan ada golongan dan terdapat unsur-unsur yang ingin menjatuhkan kerajaan dengan sebaran berita yang akhirnya mengelirukan rakyat itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menerusi satu kenyataan turut berkata penunjuk perasaan jalanan yang melakukan bantahan mempunyai pemahaman yang sedikit tentang Statut Rome kerana ia sama sekali tidak mencabar perlembagaan dan kedudukan raja-raja Melayu.

“Seperti dalam modus operandi kempen jahat, golongan tertentu akan mengarang dan ‘spin’ kisah nyata.

“Seterusnya orang yang menjadi dalang akan terus menimbulkan kekacauan dan mengambil kesempatan mengarang-ngarang cerita.

“Patriot tidak akan berdiam diri melihat kelakuan tidak bertanggungjawab dan tidak demokratik yang ingin menjatuhkan kerajaan,” ujarnya.

Namun begitu beliau menambah, demi menjaga ketenteraman orang ramai dan negara, beliau bersetuju dengan tindakan Tun Mahathir yang menarik semula dari menyertai Statut Rom.