Malaysia Dateline

Statut Rome: TMJ dakwa jejas Raja, Melayu dan Islam

Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa penyertaan Malaysia dalam Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menjejaskan Raja-Raja, Melayu dan Islam.

Menurut baginda, penyertaan tersebut dibimbangi menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi di negara ini.

Baginda turut mengingatkan, bahawa tindakan yang memberi kesan kepada pemerintah tertinggi perlu terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja.

“Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini digubal oleh United Nations (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Siapa yang mendapat faedah daripadanya? Hanya beberapa kuasa besar.

“Bagaimana mereka itu tidak pernah mempersoalkan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin dan bagaimana rakyat tersebut menderita?

“Ini tidak bagus buat Raja-Raja, Melayu dan Islam. Tanpa anda menyedari, kita selaku orang Melayu telah mempermudahkan mereka untuk mencapai matlamat dan agenda mereka,” tegasnya dipetik dalam akaun Facebook rasminya, malam tadi.

Sehubungan itu, TMJ menyifatkan sikap pihak tertentu yang terlalu liberal mengakibatkan berlakunya keputusan untuk menyertai Statut Rome.

“Inilah akibatnya apabila ada segelintir pihak mahu terlalu liberal. Kita sentiasa harus mempertegakkan Islam,” kata Tunku Ismail lagi.

Kerajaan Malaysia pada 4 Mac lalu menerusi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC.

Penyertaan tersebut mencerminkan komitmen negara terhadap usaha-usaha membanteras jenayah antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.

Wisma Putra menjelaskan, Jemaah Menteri pada Disember lalu telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan.

Keputusan itu juga telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.

Kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam Statut Rome ICC tidak jejas kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

Kekebalan

Sementara itu, Wisma Putra semalam Wisma Putra menegaskan, kerajaan telah mengkaji secara mendalam dan teliti dari segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rome.

“Keputusan dibuat setelah kerajaan yakin bahawa kedudukan dan kekebalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome.

Negara-negara itu seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.

Dalam kenyataan Wisma Putra, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome sehingga 4 Mac lalu sekali gus lebih tinggi daripada bilangan negara yang bukan Negara Pihak.

“Sebagai salah satu negara yang telah menandatangani “the Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court”pada 17 Julai 1998 bagi penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa jenayah-jenayah serius seperti yang termaktub dalam Artikel 5 Statut Rome iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, adalah jenayah yang tidak dapat diterima oleh seluruh masyarakat antarabangsa di mana pelaku yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan.

“ICC berpegang kepada prinsip complementarity di mana Artikel 17 Statut Rome memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa di ICC sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan sesuatu jenayah antarabangsa.

“Dalam erti kata lain, ia merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort),” jelas Wisma Putra lagi.