Malaysia Dateline

#StepWithRefugees: Sempena mengingati Hari Pelarian Sedunia

 

#StepWithRefugees telah diangkat sebagai tema bagi tahun 2019. Fokus utama ialah perhatian dari masyarakat dunia untuk bersama-sama membantu pelarian ini tidak kira usaha kecil atau besar dan bersolidariti secara berterusan.

Setakat April 2019, jumlah pelarian yang telah didaftarkan di Malaysia adalah seramai 170,460 orang. Lebih 140 ribu daripada mereka adalah pelarian dari Myanmar terutama pelarian Rohingya dan bangsa lain yang beragama Islam. Diikuti pelarian dari Pakistan (6150 orang), Yemen (3350), Somalia (3,090) dan Syria (3065). Lebih 40 ribu pelarian terdiri daripada kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.

 

Malaysia telah membantu lebih dari 9 ribu pelarian kanak-kanak ini untuk bersekolah di negara ini. Tahniah diatas keprihatinan kerajaan Malaysia kerana terus konsisten membantu golongan pelarian ini.

Islam sering menekankan Konsep Taaruf iaitu saling kenal mengenali sesama manusia.Di dalam Al-Quran ada dinukilkan “Wahai manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kalian dari lelaki dan wanita, lalu menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian saling kenal mengenali (ta’arofu)” (QS. Al Hujurat: 13).

Golongan pelarian ini juga termasuk didalam kategori bangsa-bangsa dan suku-suku lain seperti yang disebut didalam ayat.

Logiknya , golongan ini perlu kita bantu diatas dasar kemanusiaan.
Pepatah Inggeris juga ada menyebut “Kindness is the Rent You Need to Pay for Living on This Earth”. Aspek bantuan secara micro boleh dilihat dari sudut Maqasid Syariah.

Sebagai masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab, perhatian kita kepada mereka terutama dari sudut kesihatan, nutrisi makanan, pendidikan, perlindungan dan sokongan “phycology” mengikut kemampuan.

Bantuan ini tidak hanya dengan kita dipertanggungjawabkan di atas bahu kerajaan dan NGO semata-mata. Kita sendiri boleh melakukan sesuatu yang lebih berimpak selain dari menularkan kempen #StepWithRefugees di media sosial.

Selain itu, adalah tidak bertanggungjawab untuk kita sebagai manusia untuk merasakan pelarian ini hanya membawa bebanan kerana sifat pasif ini tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada diri dan negara.

Nikmat yang sering manusia terlupa ialah nikmat kesenangan. Kita harus selalu mengingati, bahawa golongan tidak bernasib baik ini menjadi pelarian bukan kerana pilihan mereka tetapi ujian.

Suka untuk saya memetik ayat Al-Quran yang mengingatkan “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah swt), maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan” (QS. Al-Baqarah, 245).

Moga perhatian kita kepada golongan pelarian ini berterusan dan menjadi bukti kepada dunia rakyat malaysia sangat prihatin isu kemanusiaan. Doa kita agar konflik kemanusiaan ini diuruskan dengan baik dan suatu hari nanti konflik ini akan berakhir dan masyarakat dunia akan hidup dengan bahagia dan berkasih sayang antara satu sama lain.

*Penulis adalah Ketua Pemuda AMANAH Selangor