Malaysia Dateline

Stesen LRT, MRT, Monorel diiktiraf bersih dan selamat

Selepas pengiktirafan ISO9001:2015 untuk pengurusan berkualiti, stesen-stesen LRT, MRT dan monorel kendalian Rapid Rail Sdn Bhd termasuk Pusat Kawalan Operasi dan worksyop pula diperakui sebagai bersih dan selamat serta dilengkapi visual maklumat yang jelas.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini perakuan diberikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), yang telah menjalankan audit Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S ke atas stesen dan fasiliti untuk keempat-empat laluan rel urban kendalian anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu.

Diketuai oleh Nur Rafidah Zulkifli, yang bertindak sebagai ketua auditor, panel pengauditan MPC yang turut dianggotai oleh Ishak Salleh, Kamaruddin Mamat dan Mohd Lizuan Mohd Latif membuat pemeriksaan stesen dan fasiiti-fasiliti lain untuk keempat-empat laluan rel – LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan KL Monorel dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.

Dalam mengendalikan pemeriksaan yang diadakan semalam, keempat-empat anggota itu berpecah untuk memeriksa setiap laluan untuk aspek-aspek kebersihan, keselamatan dan pengurusan visual berdasarkan kepada prinsip-prinsip antarabangsa 5S – Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke; ataupun prinsip-prinsip Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal(5S) dalam Bahasa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata,hasil pemeriksaan yang dijalankan telah memuaskan hati kesemua anggota panel auditor perbadanan berkenaan sekali gus menganugerahkan kepada Rapid Rail dengan Pensijilan Persekitaran Berkualiti (5S) MPC.

“ Alhamdilillah, syabas dan tahniah daripada saya kepada semua warga kerja Rapid Rail, yang terus mempamirkan dedikasi, komitmen dan kegigihan untuk meraih pengiktirafan dan pensijilan Sistem Amalan Persekitaran Bersih & Berkualiti (QE/5S) daripada MPC dan juga International Certificate of ISO9001: version 2015 daripada SIRIM QAS International.

“Kedua-dua persijilan ini sebenarnya diraih pada hari yang sama, pada tanggal 28 Disember 2017, yang pastinya akan tercatat sebagai satu hari yang cukup bersejarah untuk Rapid Rail. Sekali lagi, ucapan tahniah untuk semua,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Dalam ulasan mereka, panel audit MPC itu menyatakan bahawa aspek keselamatan telah diberi keutamaan dan dipatuhi di semua stesen dan fasiliti yang telah diaudit dan efektif untuk menggelakkan sebarang kejadian kemalangan.

Untuk pengurusan visual maklumat, panel berkenaan bersetuju bahawa Rapid Rail telah berusaha mewujudkan dan mempamerkan maklumat berkaitan dengan operasi untuk rujukan pelanggan; dan telah dilaksanakan dengan kemas.

Bagi aspek kebersihan, panel membuat audit pelbagai fasiliti termasuk peralatan dalam pejabat, kemudahan awam, kawasan ruang stesen dan papan maklumat untuk keselesaan pelanggan.