Bayar pinjaman tiap bulan, stesen minyak Koperasi Ladang Rakyat tidak beroperasi

Pendedahan berkaitan sebuah stesen minyak yang dibeli Koperasi Peserta Ladang Rakyat (Kopeladar) Kelantan kini semakin kusut apabila tersebar dokumen tanah yang dibeli itu bukan atas nama koperasi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa dalam kenyataan terbaru hari ini mempersoalkan apabila stesen minyak yang dibeli tidak dapat beroperasi, dari mana Kopeladar membayar balik pinjamannya kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Stesen minyak itu sepatutnya menjanakan keuntungan kepada ahli dan menjanakan pendapatan untuk bayaran balik pinjaman setiap bulan. Namun sejak April tahun lalu, stesen ini telah ‘berehat panjang’.

“Bayaran balik pinjaman difahamkan berjumlah RM12,000 sebulan. Bermakna setahun RM144,000 diperlukan bagi tujuan itu,” katanya.

Beliau terus melahirkan kekesalan bagaimana kepincangan itu boleh berlaku.

“Dalam alam akauntabiliti tinggi dan ketelusan, menjadi tugas pengurusan Kopeladar mengeluarkan kenyataan menjelaskan duduk perkara.

“Bukan menyerang sesiapa atau menyerahkan penjelasan kepada entah berentah dengan berbagai versi.

“Jika keputusan tentang segala perkara berkaitan pembelian itu dibuat secara hemah, adakah stesen itu perlu ditutup,” soalnya

Berkaitan tindakan menamakan tanah tapak stesen itu dengan penama persendirian dan bukannya Kopeladar, beliau berkata terdapat pelbagai versi jawapan antaranya wujud tiga penama.

“Cabutan di Pejabat Tanah pula menunjukkan dua penama iaitu Saudara Mortazi Ismail setengah bahagian tanah dan Saudara Zahari Sulaiman, orang kuat kepada orang kuat dari Pengkalan Chepa, setengah bahagian.

“Alasan meletakkan nama mereka adalah untuk memanjangkan hayat milikan tanah itu menjadi 99 tahun berbanding 66 tahun jika dinamakan kepada Kopeladar.

“Seingat saya, Exco mempunyai kuasa sepenuhnya jika ada permohonan, mengecualikan peraturan itu dan memberikan lanjutan tempoh milikan itu kepada mana-mana pihak.

“Kopeladar adalah koperasi kepada perbadanan kerajaan sendiri. Sepatutnya ia bukan masalah,” katanya.

Sepatutnya kata beliau, rayuan boleh dibuat oleh Kopeladar untuk pertimbangan pihak Exco.

“Kenapa pilihan ini tidak diambil? Ini antara yang menimbulkan persoalan dan perlukan penjelasan,” katanya.

Menurut Husam, masalah yang lebih besar apabila tanah itu atas nama Mortazi dan Zahari dan dicagarkan ke SKM, perubahan nama kepada Kopeladar tidak lagi dapat dilakukan sebelum semua pinjaman itu dijelaskan.

“Niat baik pengurusan Kopeladar telah berakhir dengan kerugian kepada ahli Kopeladar yang telah sedia miskin.

“Jika nama pemilik diletak atas nama Kopeladar, tidaklah stesen itu perlu ditutup. Dapatlah setiap bulan keuntungan. Bolehlah nanti dividen dibayar tanpa apa-apa kekurangan.

“66 tahun kemudian, jika Pas masih lagi memerintah Kelantan, bolehlah tempoh milikan itu dilanjutkan.

“Itu pun jika ia tidak boleh atau berhalangan dilanjutkan sekarang. Seingat saya, tidak. Ia boleh dibuat sekarang,” katanya.

Kopeladar kata Husam, seperti dimaklumkan ahli-ahlinya yang miskin, mengutip RM10 sebulan dari setiap ahli sebagai wang caruman.

“Bermakna dengan keahlian agak saya berjumlah 5,030 orang, Kopeladar mengutip sekitar RM600,000 setahun.

“Wang ini patut dan boleh digunakan untuk pelaburan baru, bukannya membayar pinjaman kerana pelaburan berkaitan tersangkut. Ia seperti ‘menyeksa’ ahli yang telah sedia daif.

“Adakah pengurusan Kopeladar memandang berat nasib ahli yang dengan sendirinya ternafi mendapatkan pulangan pelaburan yang lebih baik?” soal beliau.

Apa yang lebih malang, katanya urusniaga itu dianggap ‘betul’ dan ‘berjaya’.

COMMENTS

Wordpress (0)