Stesen Pekan Pendang di paras bahaya

Stesen Pekan Pendang di paras bahaya

Kawasan sekitar Seberang Perai Timur masih ditenggelami air setakat petang hari ini dengan air sungai berdekatan difahamkan melimpah.

Penduduk tempatan Ahmad Huzaini bagaimanapun mendakwa berlaku kes kecurian di kediaman yang ditinggalkan ekoran penghuni masih berada di pusat pemindahan banjir.

Bekalan elektrik di kawasan terjejas difahamkan telah ditutup. Selain itu, terdapat kereta mangsa banjir yang ditinggalkan pula dikatakan dipecahkan cerminnya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekarang air dari utara Penang dah turun ke daerah SPT (Seberang Perai Timur), hujan tak lebat dah tapi sungai dah melimpah.

“Memang tak habis lagi banjir,” katanya dipetik daripada Facebook komuniti Pusat Gerakan Banjir Kedah.

Sementara itu, sumber Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda menafikan maklumat berkenaan tebing sungai terpanjang di Kedah itu yang kononnya pecah petang tadi.

Dakwaan yang kemudiannya tular di media sosial itu menyebut paras banjir telah mencecah ketinggian 5.20 meter iaitu melebihi tahap maksimum 3.96 meter.

“Amaran tahap merah dikeluarkan untuk daerah SPU (Seberang Perai Utara). Harap maklum,” dipetik daripada mesej yang dikongsi ramai pengguna media sosial.

Status bahaya

Pintu air di Padang Chempedak pecah akibat limpahan sungai kulim

Bagaimanapun semakan Malaysia Dateline di laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati stesen Sungai Muda di lokasi Jam Syed Omar mencatatkan ketinggian air di paras 8.13 meter.

Bacaan setakat jam 5 petang itu meskipun melepasi paras normal 8.0 meter tetapi masih tidak melebihi tahap berjaga-jaga iaitu 12.10 meter.

Status bahaya iaitu berwarna merah hanya dicatatkan di stesen Pekan Pendang yang menyaksikan limpahan air Sungai Pendang setinggi 3.18 meter melampaui paras maksimum 2.70 meter.

Tiga stesen lagi dalam tempoh sama berada dalam kategori berwaspada iaitu di stesen Empangan Beris di paras 84.10 meter diikuti Kampung Labi (24.71 meter) dan Rumah Pam Bandar Baharu (1.34 meter).

Kesemua stesen berstatus warna kuning itu masing-masing diairi Sungai Muda, Sungai Janing dan Sungai Kerian.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 3,404 mangsa banjir di Kedah membabitkan 915 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir setakat jam 4 petang tadi.

Data dari portal Bencana di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu sedikit menurun berbanding 3,711 orang daripada 1,006 keluarga sehingga 8 pagi hari ini.

Bagaimanapun, lima daerah dilanda banjir masih sama direkodkan iaitu di Baling, Kuala Muda, Kulim, Pendang dan Yan.