Malaysia Dateline

Steven bantu penjaja mula hidup baru selepas kibar bendera putih

Kesempitan hidup menyebabkan seorang penjaja terdesak sehingga terpaksa menaikkan bendera putih di halaman rumahnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin bagi memohon bantuan.

Penjaja yang dikenali Ah Soon itu berbuat demikian susulan buntu selepas segala usaha dilakukannya tidak menjadi.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) berulang kali bukan sahaja menyebabkan dia tidak dapat berniaga malah terpaksa menanggung pelbagai hutang.

“…Sewa gerai, motor, sewa rumah, bil api dan air semua sudah empat lima bulan tak bayar.

“Sampai mesin basuh dan kipas angin di rumah terpaksa dijual demi sesuap nasi,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang berkongsi kisah tentang penjaja itu di Facebooknya semalam.

Warganet telah menggerakkan kempen bendera putih di halaman rumah sekiranya tiada makanan atau memerlukan bantuan sebagai satu bentuk solidariti susulan kesusahan dialami rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Steven berkata, Ah Soon bukan tidak mencuba malah berusaha untuk bangkit semula selepas tersungkur berkali-kali namun PKP berulang-ulang menyebabkannya buntu.

Tambahnya, Ah Soon hanya ingin mencari pendapatan kerana dia masih boleh bekerja.

Sehubungan itu, Steven berkata, beliau akan membayar segala hutang sewa rumah, hutang bil api dan air serta hutang motor Ah Soon.

“Kemudian saya bantu Ah Soon dapatkan lot gerai baru itu. Sewa gerai sampai hujung tahun saya tanggung. Janji Ah Soon boleh mulakan hidup baru dan terus berusaha,” katanya.